Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petronas digesa hentikan urus niaga dengan tentera Myanmar
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Petronas didesak agar menghentikan urus niaga dengan firma yang berkaitan dengan tentera Myanmar, di tengah-tengah dakwaan pembersihan etnik terhadap Rohingya di Rakhine.

Desakan itu timbul setelah Petronas hari ini mengumumkan anak syarikatnya Petronas LNG Ltd membekalkan gas asli cecair (LNG) kepada CNTIC VPower di Yangon, ibu kota negara itu.

CNTIC VPower adalah usaha sama antara China National Technical Import Export Corporation (CNTIC) dan syarikat berpangkalan di Hong Kong, V Power Group International Holdings.

Konsortium itu terlibat dalam projek jana kuasa daripada LNG yang terletak di plot milik syarikat milik tentera, Myanmar Economic Holdings Limited (MHEL).

“Justice For Myanmar menggesa semua perniagaan untuk memutuskan hubungan perniagaan dengan tentera Myanmar.

"Keuntungan dari perniagaan berkaitan tentera seperti projek LNG ini memperkaya penjenayah perang, termasuk Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, yang mengetuai pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya, dan akan membiayai jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang berterusan," kata kumpulan aktivis itu dalam satu kenyataan .

Pelarian Rohingya

Jeneral Kanan Min Augg Hlaing adalah pengerusi kumpulan penaung MHEL, menurut Misi Pencari Fakta Hak Asasi Manusia PBB di Myanmar pada 2017.

Disember lalu, Min Aung Hlaing dan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia terhadap Rohingya dan minoriti lain.

Suu Kyi menafikan dakwaan pembersihan etnik di Mahkamah Keadilan Pertubuhan Bangsa Bersatu Disember lalu.

Pada bulan Januari, mahkamah itu mengeluarkan keputusan awal terhadap Myanmar untuk mengambil langkah-langkah bagi melindungi Rohingya dari dianiaya dan dibunuh.

Sehingga April, terdapat 101, 280 pencari suaka Rohingya yang berdaftar dengan Badan Pelarian PBB UNHCR di Malaysia.

Sentimen anti-Rohingya di kalangan rakyat Malaysia meningkat pada awal tahun ini apabila kumpulan hak asasi manusia antarabangsa mengutuk Malaysia kerana mengusir kapal yang dipenuhi pelarian etnik itu daripada kawasan perairan.

Kerajaan mengatakan kapal-kapal itu diusir kerana orang asing tidak dibenarkan masuk susulan pandemik Covid-19.

Namun, pada 5 April, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia memintas sebuah kapal yang membawa 202 orang Rohingya dan penumpangnya diselamatkan dan dihantar untuk menjalani kuarantin.

'Risiko rasuah'

Justice for Myanmar berkata projek LNG membawa risiko rasuah kerana pengarah MEHL juga berfungsi sebagai ketua jabatan kastam Myanmar dan pihak berkuasa pelabuhan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Petronas untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Petronas memaklumkan ia menghantar dua kargo LNG ke Yangon pada Mei dan Jun berdasarkan perjanjian jual beli yang ditandatangani dengan CNTIC VPower.

Kargo berjumlah 190,000 meter padu itu dijual secara "free-on-board" dari kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

"Dua kargo LNG yang berjaya dihantar ke CNTIC VPower menandakan era baru dalam pertumbuhan permintaan LNG di rantau Asia Tenggara," kata ketua eksekutif Petronas LNG Abdul Aziz Othman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS