Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CIJ bidas penggunaan Seksyen 233 akta komunikasi
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 10:31 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu membidas penyiasatan dan pendakwaan yang terus dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dengan menyifatkannya sebagai alat untuk membungkam pandangan berbeza.

“CIJ mengutuk keras Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang terus digunakan, meskipun Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berikrar untuk meneliti akta itu bulan lalu.

“Kami menggesa semua penyiasatan berkaitan (akta itu) dan penangkapan akan datang, dihentikan, dan pendakwaan digugurkan,” kata Naidu dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami memandang (perkara ini) dengan pertimbangan bahawa sejak pertukaran kerajaan pusat Februari 2020, individu yang melahirkan pandangan yang bertentangan dengan pihak berkuasa berdepan dakwaan atau disiasat di bawah Seksyen 233 akta ini,” katanya.

Kata Naidu, ini termasuklah pengasas Center to Combat Corruption & Cronyism (C4) Cynthia Gabriel, pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) R Sri Sanjeevan, aktivis Fadiah Nadwa Fikri, pengasas Big Blue Taxi Services Shamsubahrin Ismail, Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar, dan wartawan South China Morning Post, Tashny Sukumaran.

Semalam, media melaporkan bahawa Gabriel disoal siasat polis berhubung surat C4 pada 14 Mac bertajuk Anti-corruption rhetoric will never purify the unelected Perikatan Nasional gov't’.

Semalam juga, Sanjeevan didakwa di bawah Seksyen 233 akta tersebut kerana dikatakan membuat tuduhan palsu terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ulas Naidu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sangat bermasalah kerana mempunyai definisi yang tidak khusus, selain hukuman berat yang melanggar hak kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan, serta termaktub dalam undang-undang hak asasi manusia termasuklah Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

Katanya, seksyen itu membolehkan seseorang dipenjara sehingga setahun dan didenda sehingga RM50,000 atas kesalahan membuat hantaran yang menyinggung perasaan pihak lain.

“Ini melampaui sekatan sah yang dibenarkan terhadap kebebasan bersuara seperti (untuk) menghalang hasutan keganasan atau untuk keselamatan negara,” katanya.

Tambah Naidu, kebebasan bersuara adalah hak asas untuk pertukaran idea, pendapat dan maklumat, dan membolehkan rakyat membentuk pandangan sendiri, membenarkan pandangan berbeza atau alternatif, terutamanya soal kepentingan awam dan menggalakkan tadbir urus yang baik oleh kerajaan.

Oleh itu, katanya, sekatan terhadap kebebasan bersuara dalam undang-undang mestilah jelas dan didefinisikan dengan khusus, supaya dapat berfungsi untuk kepentingan awam.

“Menjadikan kandungan yang boleh mencabar dan meminta kerajaan bertanggungjawab (atas sesuatu perkara) sebagai satu jenayah, adalah sangat tak selari dengan tujuan melindungi ketenteraman awam,” katanya.

Justeru, katanya, CIJ menggesa agar kerajaan menghentikan penggunaan peruntukan undang-undang yang regresif bagi menutup mulut pihak yang menyuarakan pandangan tidak bersetuju dan bertentangan dengan mereka.

Tambahnya lagi, kerajaan PN di bawah kepemimpinan Saifuddin, harus menyemak semula dan mengenakan moratorium terhadap penggunaan sewenang-wenangnya seksyen berkenaan, serta bergerak ke arah memansuhkan dan meminda peruntukan tidak jelasnya, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan piawaian antarabangsa mengenai kebebasan bersuara.

“Kita perlu persekitaran sihat yang menggalakkan khalayak yang berfikir dan kritikal, bukan hanya khayalak yang tak berfikir dan patuh seperti boneka dalam masyarakat kita,” tambah Naidu lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS