Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM umum CEO baru Petronas, Wan Zulkiflee dilantik pengerusi MAB
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 5:16 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Petronas yang baru.

Sehubungan itu Muhyiddin juga mengumumkan pelantikan Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang sebelum ini menyandang jawatan CEO Petronas sebagai pengerusi baru syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Kedua-dua pelantikan ini berkuat kuasa pada 1 Julai 2020.

"Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh YM Tengku Muhammad Taufik, beliau bersama pengerusi sedia ada, Datuk Ahmad Nizam Salleh, akan dapat memimpin Petronas ke mercu kecemerlangan," jelasnya.

Menurut Muhyiddin, dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, terdapat beberapa syarikat kerajaan yang perlu diperkukuhkan lagi bagi menghadapi norma dunia baru. 

"Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara," jelasnya dalam satu kenyataan. 

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun bersama Petronas.

"Beliau telah berjaya mengekalkan Petronas sebagai salah sebuah syarikat Kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

"Petronas juga adalah satu-satunya syarikat kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500.

"Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, syarikat MAB akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik," jelasnya.

Lihat Komen
ADS