Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hotel di Langkawi terima 1,000 tempahan tak sampai sejam
Diterbitkan:  Jun 7, 2020 8:49 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Sektor perhotelan di Langkawi menerima lebih 1,000 tempahan bilik hotel daripada pelancong demostik dalam tempoh sejam selepas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) petang tadi.

Astro Awani memetik Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainuddin Kadir, berkata perkembangan itu menandakan permulaan positif bagi industri pelancongan selepas terjejas akibat wabak Covid-19.

“Untuk makluman juga, pada jam 4 petang sehingga 4:45 petang tadi kita telah menerima 1,000 tempahan dalam masa sejam.

"Ini adalah rekod, semua hotel-hotel kita telah menerima 1,000 tempahan daripada semua pelancong domestik yang hendak ke Langkawi,” ujarnya.

Zainuddin berkata persatuan itu menetapkan sasaran untuk menarik satu juta pelancong domestik ke Langkawi dari 10 Jun hingga 31 Disember.

Pada waktu yang sama, katanya ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan, terutama mengenai fasiliti yang boleh gunakan di hotel seperti kolam renang.

"Orang bercuti bawa anak, bawa keluarga, sudah tentu kita nak gunakan kolam renang tapi dalam pegumuman PM tadi tidak secara terperinci. Saya akan berjumpa dengan Menteri Pelancongan sendiri untuk mendapat garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Bagaimanapun, Zainuddin berkata tarikan pelancongan utama di Langkawi termasuk kereta kabel dan taman tema masih ditutup kepada orang ramai.

Muhyiddin dalam ucapan khas hari ini mengumumkan PKPP bagi menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 10 Jun ini hingga 31 Ogos.

Dengan penguatkuasaan PKPP, hampir semua kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS