mk-logo
Berita
Video tapir berlari di Sepang dirakam sebulan lalu
Diterbitkan:  Jun 9, 2020 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Video seekor tapir dari spesis Tenuk Malaysia berlari bebas di sebuah kawasan kediaman di Sepang, Selangor, yang berlegar di media sosial baru-baru ini, telah dirakam sebulan lepas.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hassan, pegawai jabatan itu tidak dapat mencari haiwan itu ketika mereka tiba di kawasan tersebut pada keesokan harinya.

Video tersebut, katanya, dirakam di Desa Salak Permai dan telah dimuat naik pada Mei lalu.

“Video itu diambil pada 20 Mei. Pemiliknya dari Desa Salak Permai dan (dikatakan video itu) dirakam oleh anak lelakinya. Perhilitan pergi ke sana keesokan hari dan tak ada tanda haiwan itu berada di kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam rakaman 15 saat itu yang berlegar sejak beberapa hari lalu, seekor tapir bersaiz besar dapat dilihat berlari di jalan sebuah kawasan kediaman pada malam hari, melepasi pagar rumah dan kereta yang diletakkan di sepanjang jalan.

Video itu berakhir dengan haiwan itu menghilangkan diri di hujung jalan.

Nasib haiwan itu kini masih tidak jelas tetapi Abdul Kadir memberitahu Malaysiakini bahawa jabatan itu masih meneruskan pencarian.

Tapir dari jenis Tenuk Malaysia (tapirus indicus) - dengan nama lain Tenuk Asia, Tapir Malaya, Badak Cipan - merupakan spesis tapir terbesar dan panjang badannya boleh membesar sehingga 1.8 ke 2.5 meter. Ia merupakan satu-satunya spesis tapir yang boleh ditemukan di Asia.

Ia tersenarai sebagai haiwan terancam oleh Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), yang merupakan daftar spesis terancam yang paling komprehensif di dunia.

Dianggarkan terdapat kurang daripada 1,500 tapir ini di Semenanjung Malaysia dan bilangannya dilaporkan semakin berkurangan.

Ia juga tersenarai sebagai haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang merangkumi Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Bersifat nokturnal (aktif pada waktu malam), tapir ini amat mudah dikenal pasti dengan tanda belang hitam dan putih di badan tapir dewasa, manakala tapir muda pula mempunyai bulu perang dengan belang hitam dan putih, serta bintik-bintik cerah di badan.

Haiwan itu kini terancam di Malaysia setelah hilang habitat akibat penebangan hutan, pemecahan hutan (forest fragmentation), kegiatan pemburuan serta kemalangan jalan raya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS