Mahkamah tolak permohonan Abdul Kudus
Mahkamah Majistret Ampang hari ini menolak permohonan bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad agar kes pendakwaan terhadapnya kerana membuat kenyataan palsu, didengar semula, dengan memanggil saksi-saksi pendakwa.
Mahkamah Majistret Ampang hari ini menolak permohonan bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad agar kes pendakwaan terhadapnya kerana membuat kenyataan palsu, didengar semula, dengan memanggil saksi-saksi pendakwa.
Abdul Kudus, 43, melalui peguamnya M.Manoharan mengemukakan permohonan tersebut pada 5 Jun lalu berikutan pertukaran Majistret Juanita Mohd Salleh yang mendengar kes tersebut sebelum ini.
Majistret Saidah Mohamed Halil berkata nota-nota keterangan adalah cukup dan jelas tanpa memprajudiskan mana-mana pihak, dan menurutnya tiada isu kredibiliti saksi timbul kerana kes itu hanya melibatkan dokumen.
Saidah menetapkan 24 Ogos untuk perbicaraan bagi membolehkan Abdul Kudus membela diri sepertimana keputusan di akhir kes pendakwaan yang dibuat oleh Juanita.
Menurut Bernama, Abdul Kudus didakwa membuat kenyataan palsu di dalam surat akuan bersumpah di pejabat Yang Dipertua MPAJ pada 26 September 2001.
Surat akuan sumpah
Abdul Kudus, di dalam surat akuan bersumpah, yang dibenarkan di sisi undang-undang dan diterima oleh penjawat awam sebagai keterangan mengenai sesuatu fakta, membuat satu kenyataan palsu berbunyi: "Pada tarikh sekarang ini, saya bebas daripada kesusahan kerana hutang dan tiada apa-apa jua tanggungan atas apa-apa Surat Janji Hutang sama ada sebagai peminjam atau penjamin."'
Dalam pertuduhan itu menyebut bahawa beliau mengetahui butiran itu adalah palsu bagi tujuan surat akuan itu dibuat.
Pertuduhan terhadap Abdul Kudus dibuat mengikut Seksyen 199 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman di bawah Seksyen 193 kanun yang sama.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Badan Pencegah Rasuah Zulqarnain Hassan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.