Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH: AG mesti jelaskan keputusan bebaskan Musa Aman
Diterbitkan:  Jun 9, 2020 5:42 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan melepaskan dan membebaskan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman atas 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataannya, PH berkata peguam negara perlu memberi penjelasan kerana keputusan itu bakal mencerminkan wajah sebenar pentadbiran negara hari ini.

"Keputusan Pejabat Peguam Negara ini amat membingungkan malah juga mengecewakan, memandangkan 46 pertuduhan ini melibatkan dakwaan penyelewengan atau pengubahan wang haram berjumlah lebih RM50 juta.

"Ini bukan jumlah pertuduhan yang kecil, dan ini juga bukan jumlah wang yang kecil.

"Oleh yang demikian, Pejabat Peguam Negara perlu segera memberi penjelasan penuh berkenaan keputusan ini kerana ia bakal mencerminkan wajah sebenar pentadbiran yang ada hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan anggota parlimen DAP, Anthony Loke.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan dan melepaskan Musa (gambar bawah) daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan konsesi balak di Sabah.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan kenyataan pada 5 Nov 2018, di mana suruhanjaya itu memperoleh maklumat baru mengenai kes tersebut selepas menutup siasatan pada Julai 2012.

Peguam veteran itu mempersoalkan mengapa pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan kesemua 46 pertuduhan tersebut hari ini, sedangkan SPRM sendiri pada 9 Nov 2018 menyatakan telah memperoleh "maklumat baru berhubung kes tersebut", yang mendorong badan antirasuah itu mendakwa Musa pada 5 November 2018.

Haniff berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana peguam Musa Aman hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiada pertuduhan dibuat berhubung siasatan pada tahun 2012.

"Saya katakan bahawa ia adalah amat penting untuk Pejabat Peguam Negara di bawah teraju Tan Sri Idrus Harun memberikan satu penjelasan yang lengkap dan terperinci supaya tiada timbulnya mana-mana persepsi negatif mahupun kesangsian di minda rakyat," kata Haniff (gambar, atas).

Katanya, dua persoalan tersebut adalah:

i) Sama ada pendakwaan Musa Aman pada 5 Nov 2018 telah dilakukan tanpa asas yang munasabah di sisi undang-undang;

ii) Ataupun perintah "lepas dan bebas" terhadap Musa Aman pada hari ini adalah bertentangan dengan kenyataan SPRM bertarikh 9 November 2018, dan tanpa asas yang munasabah di sisi undang-undang.

"Saya amat berharap agar satu kenyataan awam daripada Tan Sri Idrus Harun dapat dikeluarkan sesegera mungkin, untuk mengukuhkan keyakinan Rakyat berhubung pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, Adun Kota Kemuning, V Ganabatirau berkata, hari ini merupakan hari yang paling gelap bagi sebilangan rakyat Malaysia susulan pembebasan Musa Aman.

"Kenapa saya katakan sebilangan rakyat Malaysia? Ini kerana masih terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang masih beranggapan bahawa beberapa pemimpin politik yang sedang berdepan dengan tuduhan di mahkamah adalah naif dan tidak bersalah.

"Saya rasa sedih dan simpati dengan keadaan ini," katanya.

Beliau berkata, semasa kes Lim Guan Eng digugurkan oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas, ramai yang 'terkejut' dengan keputusan tersebut malah SPRM sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

"Sesiapa yang menentang DAP dan Lim Guan Eng berpendapat sama. Kenyataan yang jelas telah dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara. 

"Tapi apakah 'terkejut' itu akan diutarakan oleh SPRM atau pihak-pihak lain bagi penguguran kes Musa Aman?" soalnya.

Lihat Komen
ADS