Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perjalanan rentas negeri yang kembali dibenarkan bermula hari ini menjadi khabar gembira buat peniaga di kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya yang terjejas teruk sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) gara-gara wabak Covid-19.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, rata-rata peniaga menzahirkan rasa lega apabila menjangkakan bakal menerima peningkatan pelanggan, meskipun itu juga bermaksud mereka harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi membuka semula kedai masing-masing.

Natasha Azman, 31, yang berniaga kedai minuman di R&R Pagoh arah Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) memberitahu, antara SOP yang harus dipatuhi ialah mensanitasi seluruh kedai sebanyak tiga kali sehari.

Selain SOP biasa seperti imbasan suhu badan, mencatat maklumat pelanggan, menyediakan pita tanda di lantai untuk penjarakan satu meter, penyediaan pensanitasi tangan, mengenakan pelitup muka dan sebagainya, operasi kedai juga akan dihadkan dari jam 7 pagi hingga 10 malam sahaja berbanding 24 jam sebelum PKP.

“R&R nanti akan ada satu saja laluan masuk dan keluar. Pelanggan kena lalu checkpoint (titik semakan) untuk periksa suhu badan, nama dan nombor telefon,” katanya ketika dihubungi semalam, sambil memaklumkan kedainya akan kembali dibuka bermula 15 Jun ini.

Dia yang tinggal di Muar itu tetap melahirkan rasa syukur dengan berita kebenaran rentas negeri tersebut, malah sudah pun mula mensanitasi kedai sendiri dan makanan ringan, sebelum sanitasi keseluruhan R&R yang dijadualkan 12 Jun nanti.

Meskipun menjangkakan pengurangan keuntungan sehingga 50 peratus, namun Natasha berkata, setidak-tidaknya peniaga dapat kembali berniaga setelah hampir tiga bulan tiada sumber pendapatan.

“Harap-harap adalah yang masih singgah R&R dan membeli makanan dan minuman.

"Perasaan takut pun ada sebab nak kena hadap orang ramai juga kan?” katanya yang berazam memastikan kebersihan kedai dan pekerjanya bagi mencegah Codid-19.

PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, dengan semua perusahaan diarahkan tutup kecuali perkhidmatan penting terpilih. Perjalanan rentas negeri pula tak dibenarkan sama sekali, dan hanya dilonggarkan kemudian untuk urusan tertentu seperti kerja, itu pun dengan kebenaran polis.

Dengan penguatkuasaan PKP pemulihan (PKPP) bermula hari ini, semua perjalanan rentas negeri dibenarkan semula tanpa perlu lagi mendapatkan keizinan polis, selain kebenaran diberikan terhadap hampir semua kegiatan yang sebelum ini disekat atau dihadkan.

Bagaimanapun, pelonggaran itu masih tertakluk pada SOP tertentu.

Kos operasi meningkat

Mira Firzana, 24, yang berniaga di gerai R&R Paka arah utara, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), untuk membuka kedai, peniaga dan pembantu yang mengendalikan makanan perlu akur untuk bukan saja mengenakan penutup mulut dan hidung, tetapi juga apron dan sarung tangan pada setiap masa.

SOP biasa juga akan dilaksanakan, antaranya catitan maklumat tarikh, nama, nombor telefon, dan suhu badan pelanggan di buku log, atau menerusi imbasan kod QR.

Borang yang diisi itu harus diserahkan kepada penghulu secara harian dan disimpan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan.

Menganggarkan kos operasi meningkat demi mematuhi keperluan SOP, sementara keuntungan pula dianggarkan menurun sehingga 30 dan 50 peratus, Mira yang mengusahakan gerai sup serta kiosk tudung dan kosmetik itu tetap menunggu hari ini dengan rasa teruja.

“Rasa teruja dan seronok kerana sepanjang PKP dijalankan kami tiada pendapatan lain selain berniaga. Cuma kami mencari inisiatif dengan menjalankan perniagaan makanan dan tudung secara atas talian dan penghantaran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Plus dalam kenyataan semalam menganggarkan pertambahan antara 10 hingga 15 peratus kenderaan setiap hari di lebuh rayanya selepas bermulanya fasa PKPP.

Dalam SOP yang dikeluarkan, selain mewajibkan pembersihan dan nyahkuman dilakukan secara kerap, susunan meja di medan selera harus dijarakkan 2 meter atau perlu diselang-selikan, manakala tempat duduk pula dijarakkan semeter dan harus disusun secara selang-seli.

Setiap premis makanan dihadkan menerima lima orang pelanggan sahaja yang beratur pada satu-satu masa, manakala di tandas, penggunaan kubikel, singki dan urinal diselang-seli untuk memastikan penjarakan pengguna.

Di surau pula, jumlah pengguna dihadkan mengikut keluasan surau dan akan dipaparkan menerusi poster di surau, manakala kelengkapan seperti telekung dan sejadah tidak akan disediakan buat masa ini.

Semua peniaga diwajibkan mendaftar dengan MySejahtera bagi memudahkan pengguna mendaftar menerusi kod QR, manakala di lokasi tertentu, aliran pengguna hanya dibenarkan secara sehala sahaja dengan satu arah keluar dan masuk, seperti di medan selera dan surau.

Semua tapak permainan di R&R Plus adalah ditutup.

Kata Plus, sejak fasa PKPB 4 Mei lalu, sebahagian premis makanan di R&R dibenarkan beroperasi bagi memenuhi keperluan pemandu kenderaan komersial dan kenderaan berat, namun di bawah PKPP, kebanyakan gerai dan trak saji dijangka beroperasi semula mulai 15 Jun.

Bimbang tak mampu kos pekerja

Malik Faizal, peniaga buah-buahan di R&R Tapah arah utara, Plus, turut menyuarakan keterujaan menungggu PKPP dan bersedia mematuhi SOP terbaru, meskipun dia telah membuka semula kedainya sejak tiga minggu lalu.

Katanya, ketika Plus membuat tawaran membuka kedai ekoran pelonggaran PKPB, tidak banyak peniaga menyambut tawaran itu kerana perjalanan rentas negeri belum dibenarkan, membuatkan mereka bimbang tidak mendapat menampung kos pekerja dan modal.

Namun, dia tetap mencuba nasib membuka kedai dengan berharap pada sebahagian pengguna lebuh raya yang dibenarkan merentas negeri atas urusan-urusan tertentu sejak PKPB dikuatkuasakan.

Katanya, hanya itulah punca pendapatannya.

“Gerai-gerai yang berada di R&R Plus bergantung sepenuhnya kepada pengguna lebuh raya untuk urusan jual beli,” katanya yang berniaga buah jambu madu dan jambu batu tanpa biji.

Dalam tempoh PKPB lalu, Malik dan isterinya memanfaatkan pesanan dalam talian bagi menjual dan menghantar sendiri buah-buahan kepada pelanggan, malah dia menghantar buah sehingga ke Kuala Lumpur bagi memenuhi banyak permintaan dari kawasan itu, setelah mendapat kebenaran.

“Saya agak lega kerana berniaga kembali, kerana punca pendapatan kami sekeluarga bergantung pada berniaga.

“Sebagai peniaga di R&R seperti saya dan ramai lagi, (kami) bergantung sumber pendapatan untuk meneruskn kehidupan hanya berniaga di R&R dan megharapkan pengguna lebuh raya untuk menjana pendapatan kami,” katanya yang sudah berniaga di R&R berkenaan sejak 1994 lagi.


Lihat Komen
ADS