Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan ketua pembangkang Anwar Ibrahim mencari jalan bersama bagi menamatkan krisis politik yang tidak berkesudahan semenjak kerajaan bertukar pada Mac lalu.
Dalam kenyataan bersama, Bersih, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menjelaskan kerajaan dan pembangkan perlu mencari kata sepakat bagi mencapai penjajaran semula politik negara.
“Kami menggesa Muhyiddin sebagai perdana menteri, Mahathir yang sedang mengetuai inisiatif untuk menggantikan beliau, dan Anwar sebagai ketua pembangkang parlimen, untuk menamatkan kebuntuan dan komplot- komplot politik ini.
"Penjajaran semula politik perlu mewujudkan pertandingan antara parti politik yang sihat dan profesional dengan memastikan layanan yang adil kepada semua," kata kenyataan berkenaan.
Langkah Sheraton yang berlaku pada hujung Feb lalu menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh selepas beberapa pemimpin kanan PKR berpaling tadah, manakala Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan gabungan yang memenangkan mereka dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Ia membawa kepada krisis yang berpanjangan. Antara lain kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin bukanlah gabungan yang mendapat mandat daripada rakyat untuk menjadi kerajaan.
Untuk rekod, selain Bersatu, semua parti yang membentuk kerajaan dalam PN adalah pihak yang kalah dalam PRU lalu. Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyokong PN pula berkali-kali menafikan mereka adalah sebahagian daripada pakatan tersebut.
Bersih, GBM dan Abim juga berpendapat penjajaran semula politik negara wajib mengandungi prinsip dan reformasi institusi.
Antaranya kata NGO terbabit, undang-undang pencegahan menghalang wakil rakyat melompat parti, pengimbangan semula pembahagian kuasa persekutuan kerajaan negeri dan peranan lebih konstruktif buat pembangkang dalam ahli parlimen penyokong kerajaan.
“Kami menggesa perdana menteri pada mana-mana titik masa untuk memulakan atau meneruskan persetujuan pelbagai-parti bagi mengembalikan demokrasi dan mengukuhkan kestabilan politik di Malaysia," kata NGO terbabit.
