Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohamaddin minta pendapat isu Sabah, kata Anifah
Diterbitkan:  Jun 11, 2020 11:41 PM
Dikemaskini: Jun 12, 2020 3:33 AM

Bekas menteri luar, Anifah Aman, menjelaskan komunikasi beliau dengan Mohamaddin Ketapi, berlaku kerana ahli parlimen Lahad Datu itu meminta pandangannya mengenai keadaan Sabah.

Kata Anifah, beliau memberikan pandangan bahawa, disebabkan jumlah kerusi Sabah dan Sarawak ketika ini hanya berjumlah 56, apa yang perlu dibuat ialah bekerjasama dengan Putrajaya bagi mendapatkan hak rakyat di kedua-dua negeri terbabit seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta Perlembagaan Persekutuan

"Pendapat ini akan saya jawab dengan pandangan yang sama jika ditanya oleh mana-mana kawan saya," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mendakwa Anifah menghubungi Mohamaddin beberapa kali dan mengajak bekas menteri pelancongan, seni dan budaya tersebut meninggalkan Warisan.

Mohd Shafie merupakan presiden Warisan dan parti itu kini menjadi kerajaan di Sabah, manakala Anifah merupakan ahli parlimen Kimanis yang bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau kemudian meninggalkan Umno dan menjadi ahli parlimen bebas kira-kira empat bulan selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pusat.

Petang tadi Mohamaddin menjelaskan, Anifah merupakan rakan lamanya dan mereka belajar bersama-sama di England dulu. Mohamaddin juga menganggap ajakan agar meninggalkan parti itu adalah perkara biasa.

Banyak pihak berpendapat kerajaan Perikatan Nasional sedang menyasarkan Sabah untuk dirampas daripada Warisan selepas gabungan itu berjaya melakukannya di Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Anifah berkata ramai kawan yang selalu menghubunginya untuk berbincang serta meminta pendapat saya berkenaan keadaan politik semasa, terutamanya mengenai Sabah.

"Walaupun saya belum lagi mempunyai sebarang parti namun kemungkinan disebabkan saya seorang yang dianggap berpengalaman maka pendapat saya sentiasa dipinta," katanya.

Lihat Komen
ADS