Paling Popular
Terkini

KATA MP | Walaupun sejak beberapa minggu kebelakangan ini cerita berkenaan PH akan menjadi kerajaan semula hangat diperkatakan, apa yang paling diharapkan oleh rakyat sekarang adalah satu permulaan baru yang dipenuhi harapan.

Saya ingin membawa anda kepada sebuah kisah yang satu ketika dahulu dilihat “mustahil”. Kita berjaya menumbangkan BN dalam PRU14. Semua ini berlaku kerana PH berjaya memberikan harapan kepada rakyat. 

Kita dipilih menjadi kerajaan bukanlah semata-mata disebabkan individu atau parti, tetapi harapan yang kita telah tawarkan sehingga rakyat berani mengambil keputusan menumbangkan kerajaan yang telah berkuasa lebih dari 50 tahun.

Kita tidak harus melupakan perjuangan untuk sentiasa mengangkat martabat rakyat dan membantu mereka yang memerlukan. Dalam kempen yang kita jalankan, kita tak henti-henti melaungkan kalimah – suara rakyat, suara keramat. Harapan baru yang kita ingin bina seharusnya bertunjang kalimah ini; mendengar rintihan dan masalah yang dihadapi rakyat.

PH juga diberi mandat kerana rakyat sudah muak dengan BN yang terkenal dengan rasuah dan pemimpin-pemimpin mereka yang boros berbelanja. Apabila kita diberi mandat, rakyat ingin melihat kita bebas daripada rasuah dan mereformasikan institusi untuk mewujudkan kerajaan yang bersih. Harapan yang menggunung inilah yang menyebabkan kita dipilih.

Malangnya, sesetengah pemimpin PH bermain-main dengan harapan dan kepercayaan yang telah diberikan. Mereka mempersenda manifesto PRU14 dengan pelbagai alasan yang ada kala tak masuk akal. Keadaan ini membangkitkan kemarahan rakyat, dan menyebabkan harapan yang subur menjadi pudar. 

Kita tewas dalam beberapa PRK, hilang sokongan bukan saja masyarakat Melayu (ketika dipimpin pemimpin yang dikatakan didukung masyarakat Melayu) malah masyarakat bukan Melayu. 

Kita memang ada melaksanakan sebahagian besar manifesto, tetapi kita memperlekehkannya. Saya percaya jika kita mempertahankan semangat manifesto dan berkomunikasi dengan lebih baik, kedudukan kita akan menjadi lebih baik.

Selain itu, masalah peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim telah menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan dari situasi ini sedangkan indikasi satu hingga dua tahun telah dinyatakan kepada umum.

Memandangkan tiada mekanisme yang jelas dan berlaku dolak-dalih dalam soal tarikh, pihak yang tak bertanggungjawab telah melakukan perancangan rapi untuk melaga-lagakan dua tokoh ini dan akhirnya telah menyebabkan kejatuhan PH.

Faktor bermain-main dengan manifesto PRU14 dan kegagalan untuk merangka rancangan peralihan kuasa telah menyebabkan kita kalah kepada rancangan rapi mereka yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa.

Untuk bergerak ke hadapan, PH dan Malaysia perlukan permulaan yang baru, kita perlu belajar dari semua kesilapan yang kita lakukan sebelum ini. Kita tidak boleh menjadikan pisang berbuah dua kali, tapi kita boleh menanam buah-buah baru untuk diberikan kepada rakyat.

Retorik Melayu malas yang diratib berulang kali dan pada masa sama melaungkan pula Maruah Melayu, kelihatan aneh dan janggal. Mereka yang malas ialah tauke-tauke besar yang rapat dengan penguasa. Rakyat di bawah – Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan – terpaksa bekerja keras untuk sesuap nasi.

Kita perlu dasar yang mencakupi semua yang tentunya akan menyatukan rakyat berbilang kaum. Kita perlu mentadbir negara dengan dasar ekonomi yang saksama dan memastikan rakyat yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa dibantu. Bila rakyat mendapat pembelaan, retorik perkauman akan semakin lama semakin pudar tarikannya.

Harapan seperti inilah yang perlu ditanam dalam jiwa rakyat jika kita berhajat ingin mendapat mandat dan menjadi kerajaan yang baik.

Dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, sudah tentu suasana politik Malaysia akan berubah. Pengundi muda pada hari ini kebanyakannya telah muak dengan permainan politik yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat. Dengan akses kepada teknologi dan Internet, sudah tentu mereka dapat melakukan perbandingan yang kritikal. 

Jika kita gagal menawarkan harapan baru kepada golongan ini, sudah tentu mereka tidak akan memilih kita.

Mengapa susah sangat untuk berikan peluang kepada Anwar? Dari 1998 sehingga hari ini, apa tohmahan yang tidak dilontarkan ke atasnya: untuk khalayak Melayu dikatakan beliau terlalu liberal. Untuk kelompok liberal, diulang-ulang latar belakang aktivismenya mendaulatkan Islam dan Bahasa Melayu yang dikatakan ekstrem. Dikatakan Anwar ini gila kuasa.

Apa yang pasti, beliau belum berpeluang menjadi perdana menteri. Apa yang pasti, beliau tidak memilih jalan mudah selama ini hingga dipenjara lebih sedekad. Apa yang pasti beliau ditawar untuk tinggalkan sekutu dalam PH untuk mendapat kuasa tetapi menolaknya. Agak aneh untuk seorang yang begitu terdesak untuk kuasa berbuat demikian.

Kebanyakan pemimpin Umno yang keluar parti cuma berani mengasaskan klon Umno: parti Melayu-Islam. Hanya Onn Jaafar dan Anwar berjaya membina parti pelbagai kaum. Onn Jaafar memilih kembali mengasaskan parti Melayu selepas Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) gagal. Tetapi di sebalik pelbagai cabaran, PKR menjadi pemain besar dalam politik Malaysia: parti pelbagai kaum yang majoritinya Melayu.

Beri peluang kepada Anwar, selaku ketua pembangkang dan ketua parti dengan 38 kerusi untuk mengambil alih tampuk kuasa untuk melihat sejauh mana beliau dapat tunaikan bukan saja janji-janji PH tetapi juga potensinya sebagai perdana menteri.

Malaysia perlukan permulaan yang baru, PH dapat memberikan harapan itu. Cuma untuk melakukan semua itu, kita memerlukan keazaman politik yang kuat dan berani belajar daripada kesilapan lepas.


NIK NAZMI NIK AHMAD ialah ketua setiausaha pengelola serta anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR merangkap anggota parlimen Setiawangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS