Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Zahid: 10 pegawai bank beri keterangan transaksi cek lebih RM25 juta

KES ZAHID | KEMASKINI | Setelah tertangguh lebih tiga bulan, perbicaraan Ahmad Zahid Hamidi berhubung tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) diteruskan hari ini dengan mahkamah dibentangkan dengan transaksi cek ke akaun penerima Tetuan Lewis & Co.

Seramai sepuluh kakitangan bank memberikan keterangan dan mengesahkan 41 transaksi bernilai RM25,952,770.00 ke akaun Lewis & Co dalam perbicaraan yang masuk hari ke-21 hari ini.

Mereka merupakan saksi ke 44 hingga 53, yang terdiri daripada penolong pengurus khidmat perbankan, pengurus, penolong pengurus, pegawai operasi, pegawai bank, pengurus operasi perkhidmatan pelanggan serta eksekutif daripada cawangan bank CIMB, Maybank, RHB, Hong Leong dan Public Bank.

Sepanjang perbicaraan sebelum ini, pihak pembelaan konsisten mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, yang mana Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.

Dalam perbicaraan sebelum ini juga, saksi ke-39, pengurus Maybank di cawangan Dataran Maybank, Leong Siew Kong pernah mengesahkan akaun Lewis & Co sebagai akaun pelanggan (clients account).

Transaksi itu dimasukkan ke akaun Lewis & Co dari syarikat Cergas Murni Sdn Bhd (tiga transaksi cek bernilai RM1,011,520 menerusi Maybank), HRA Teguh Sdn Bhd (satu transaksi cek jurubank bernilai RM313,000 menerusi CIMB), dan Chia Bee Enterprise Sdn Bhd (sepuluh transaksi cek bernilai RM10,000,000 menerusi Maybank).

Dari Kiosk Solutions Sdn Bhd pula, terdapat enam transaksi cek jurubank bernilai RM4,200,000.00 dan satu transaksi cek bernilai RM600,000 menerusi Maybank, manakala dari MTM Networks Sdn Bhd, terdapat satu transaksi cek jurubank bernilai RM600,000 menerusi Maybank.

Turut ada transaksi ke akaun Lewis & Co dari syarikat MyEG Sdn Bhd, iaitu 14 transaksi deraf permintaan (demand draft) bernilai RM8.4 juta menerusi RHB Bank.

Untuk akaun persendirian yang disahkan tadi, Lewis & Co menerima satu transaksi cek bernilai RM25,950 menerusi Public Bank dari akaun Patt Siew Ming, satu transaksi cek bernilai RM102,300 menerusi Maybank dari akaun K Rajan Gunaretnam, serta dua transaksi cek bernilai RM100,000 menerusi bank Hong Leong dari akaun Mohamed Husein b Mohammad Annifah.

Satu lagi transaksi ke Lewis & Co yang disahkan tadi adalah satu transaksi cek jurubank dari akaun Chong Chien Ming bernilai RM600,000 menerusi Maybank.

Berdasarkan keterangan penolong pengurus Maybank cawangan Bandar Utama, Selangor, Suzaliza Binti Kamari, cek jurubank Chong itu dibuat menggunakan sebahagian daripada jumlah RM1 juta yang telah telah dikreditkan ke akaun milik Chong daripada cek tunai MY EG Sdn Bhd.

Berdasarkan keterangan Suzaliza, cek tunai MY EG Sdn Bhd itu ditandatangani oleh Chong, bersama individu bernama Wong Thean Soon- kedua-duanya merupakan penandatangan yang dibenarkan untuk akaun Syarikat MY EG Sdn Bhd.

Kesemua transaksi yang disahkan tadi berlaku antara April 2016 hingga Mac 2018.

Perbicaraan dibuat di depan hakim Collin Lawrence Sequerah dengan Harris Ong Mohd Jeffery Ong sebagai timbalan pendakwa raya dan Mohd Haziq Dhiyauddin Razali sebagai peguam bela.

Perbicaraan terakhir kes Ahmad Zahid, yang juga bekas timbalan perdana menteri, adalah pada 6 Mac lalu.

Dalam perbicaraan hari ini, Mohd Haziq mencadangkan bahawa segala transaksi itu direkodkan dan boleh dikesan oleh pihak bank, tiada apa-apa yang tersembunyi dalam transaksi itu serta tidak ada bezanya transaksi berkenaan dengan transaksi-transaksi lain.

Oleh itu, cadangnya dalam pemeriksaan balas, memandangkan tidak ada apa-apa yang pelik padanya, maka transaksi-transaksi berkenaan tidak menyalahi undang-undang.

Hampir semua saksi bersetuju, melainkan saksi ke-46, penolong pengurus Maybank cawangan Setapak, Yusri Bin Md Kasri, yang menjawab “tidak tahu”.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan semula oleh Harris, hampir kesemua saksi bersetuju bahawa jawapan yang mereka berikan kepada cadangan Mohd Haziq hanyalah berdasarkan dokumen yang ditunjukkan kepada mereka dalam mahkamah semata-mata.

Malah, saksi ke-53, pengurus operasi perkhidmatan pelanggan Hong Leong cawangan Jalan Sultan Ismail, Wong Shiau Phing menjawab semasa pemeriksaan semula, bahawa bank hanya mengikut prosedur berdasarkan permintaan dan tujuan yang dinyatakan pelanggan.

“Tujuan (sebenar) pelanggan buat cek, kita memang tak tahu,” katanya.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Dalam pertuduhan pecah amanah (CBT), Ahmad Zahid dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima RM17 juta antara 2016 hingga 2018, sebagai imbuhan buat dirinya untuk menganugerahkan tiga kontrak kepada beberapa syarikat. Beliau ketika itu Menteri Pertahanan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Pada atau sekitar waktu sama, Ahmad Zahid dituduh menerima rasuah RM4.25 juta daripada “seseorang” sebagai imbuhan terhadap projek MyEG bawah bidang kuasa kementeriannya ketika itu.

Lihat Komen
ADS