Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prasekolah, tabika dibuka semula 1 Julai
Diterbitkan:  Jun 15, 2020 2:44 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Semua prasekolah dan tabika akan dibenarkan kembali dibuka bermula 1 Julai ini, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu melibatkan 6,216 prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan 7,887 buah milik swasta, serta 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan 8,530 tabika kemas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Katanya perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, selepas Kementerian Pendidikan membentangkan prosedur operasi standard berkenaannya.

"Mesyuarat khas telah bersetuju berhubung pembukaan prasekolah dan tabika bermula 1 Julai ini.

"SOP yang terperinci akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Rabu lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan bakal bermula pada 24 Jun bagi pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam.

Ia meliputi pelajar kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (Stam) serta peperiksaan antarabangsa.

Terdahulu sebelum itu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka semula secara berperingkat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Lihat Komen
ADS