Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Gerakan Media Merdeka (Geramm) bersolidariti dengan #kawangeramm di portal berita Malaysiakini dan ketua pengarang Steven Gan.

Geramm yakin dengan pengalaman yang dikumpul selama 20 tahun, Gan dan Malaysiakini akan mampu bertahan menghadapi apa jua kemungkinan yang berlaku.

Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah membenarkan permohonan Peguam Negara Idris Harun untuk memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Malaysiakini dan Gan berhubung komen pembaca mengenai badan kehakiman.

Geramm melihat tindakan ini akan memberi kesan kepada kebebasan bersuara dalam talian, dan seterusnya kebebasan media di Malaysia.

Tindakan mahkamah ini menjadi satu lagi hambatan dan cabaran kepada media, yang juga bergelut menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Tugas dan tanggungjawab media yang terutama ialah kepada pembaca. Di tengah krisis besar seperti pandemik ini, yang memberi kesan kepada seluruh kehidupan kita, media mempunyai peranan penting sebagai agen semak dan imbang terhadap pemerintah dan mereka yang berkuasa.

Geramm ingin menegaskan bahawa tindakan mahkamah terhadap media dalam situasi politik semasa turut boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap badan kehakiman dan kerajaan.

Dalam kes tuntutan terhadap Malaysiakini, ironinya, komen segelintir pembaca yang tidak jelas identiti mereka dilihat gagal mempengaruhi pandangan umum berbanding tindakan mahkamah yang diambil, yang juga mendapat liputan antarabangsa.

Bukan sahaja di Malaysia, awal minggu ini media antarabangsa melaporkan mahkamah Filipina telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap pengasas bersama portal berita Rappler, Maria Ressa atas dakwaan menyebarkan "berita palsu" atau fitnah terkait pemerintahan Presiden Rodrigo Duterte.

"Rappler and I were not the only ones on trial.

"I think what you're seeing is death by a thousand cuts - not just of press freedom but of democracy," Ressa dilaporkan berkata dalam satu wawancara bersama BBC.

Dakwaan dan hukuman bersalah ke atas Ressa dan Rappler dilihat oleh banyak pihak sebagai satu serangan terhadap kebebasan media di Filipina di bawah pemerintahan Duterte.

Geramm yakin bahawa sebagai media yang bertanggungjawab, Malaysiakini sudah melaksanakan tanggungjawabnya sewajar mungkin dan tidak harus ditekan untuk membuat tapisan kendiri yang seterusnya akan menghakis kebebasan yang diperjuangkannya.

Geramm bersolidariti mempertahankan kebebasan yang sama untuk semua pengamal media di Malaysia.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

ADS