Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat Facebook 'Hannah Yeoh' berhubung kenyataan menghasut
Diterbitkan:  Jun 17, 2020 11:20 PM
Dikemaskini: 3:20 PM

Polis sedang menyiasat pemilik akaun Facebook "Hannah Yeoh" mengikut Sekseyn 4(1) Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat menghasut.

Bagaimanapun bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh menegaskan hantaran yang disiasat itu, yang dikaitkan dengannya, adalah palsu.

"Ini tidak masuk akal. Ia kenyataan palsu," katanya seperti dilapor the Malay Mail.

Ini bukan kali pertama Yeoh menafikan kaitan petikan itu dengan dirinya. Beliau telah menegaskan perkara itu pada 11 Mac lalu.

"Tentera siber kini bekerja lebih masa. Ini adalah kenyataan palsu. Tolong hentikan fitnah," katanya ketika itu.

Cybertroopers working overtime nowadays. Ini adalah kenyataan palsu. Tolong hentikan fitnah.

Posted by Hannah Yeoh on Rabu, 11 Mac 2020

 Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata selain Akta Hasutan, Yeoh turut disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pemilik akaun Facebook 'Hannah Yeoh' akan dipanggil untuk direkodkan percakapannya bagi menjelaskan tentang kenyataan yang ditularkan di Facebook kerana ia mempunyai kecenderungan menghasut dan boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni," katanya.

Semalam, Yeoh memaklumkan beliau dipanggil oleh pihak polis untuk disoal siasat berkenaan tulisan di Twitter, yang bertanya tentang status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Polis mengesahkan siasatan tersebut.

Sementara itu, polis juga memaklumkan sedang menyiasat aktivis Siti Kasim berhubung kenyataannya di Facebook berhubung isu pengharaman minuman alkohol dan sekolah tahfiz.

Antara kenyatannya adalah: "Kamu nak haramkan alkohol hanya kerana ia sesuai dengan kehendak kamu? Jadi haramkan sekolah-sekolah tahfiz juga kerana ia menyebabkan banyak kemudaratan kepada anak-anak kita yang tak berdosa."

Siti disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lihat Komen
ADS