Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Berhenti jadi pengecut, beri gambaran Dr M musuh lebih besar dari PN'

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad hari ini mengecam setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mempersoalkan kesetiaan Amanah dan DAP terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Semalam, Farhash membidas DAP dan Amanah yang disifatkannya sebagai tidak berdiri di belakang Anwar dalam soal calon perdana menteri.

Khalid bagaimanapun berkata, sebagai pemimpin muda, Farhash seharusnya berhenti bertindak seperti "pengecut" dan menggambarkan Mahathir sebagai musuh lebih besar berbanding Perikatan Nasional (PN).

"Berhentilah berkelakuan seperti pengecut yang takut untuk menangani cabaran.

"Sekiranya kamu tidak dapat menangani Tun (Mahathir) yang kini sedang lemah, bagaimana kamu dapat menangani negara, yang jauh lebih mencabar daripada seorang lelaki berusia 95 tahun yang ditinggalkan oleh parti dan sekutunya?

"Berhenti memberi gambaran bahawa Tun adalah musuh yang lebih besar sedankan PN dengan (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan (bekas timbalan presiden PKR) Azmin Ali baik-baik saja," katanya dalam pesanan teks kepada Malaysiakini.

Semalam, Farhash membidas Amanah dan DAP setelah Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dalam wawancara dengan Malaysiakini berkata bahawa mereka mahu PKR memberikan jawapan yang tegas mengenai bekerjasama dengan Mahathir untuk mendapatkan kembali kuasa persekutuan.

"DAP dan Amanah patut menyatakan pendirian mereka di belakang individu yang membawa mereka bersama. Inikah cara kamu membalas budi Anwar atas persahabtan yang terbina lebih 20 tahun lalu?

“Anwar berdepan dengan pelbagai cabaran dan sering dilabel sebagai sangat liberal dan tidak dekat dengan komuniti Melayu ekoran kesetiaannya terhadap DAP.

“Tindakan dan kenyataan daripada DAP dan Amanah tidak berdiri teguh di belakang Anwar adalah sesuatu yang mengecewakan dan tidak bersikap kepimpinan,” kata Farhash yang juga pengerusi PKR Perak.

Sementara itu, Khalid hari ini juga menegaskan bahawa mereka setia kepada Anwar, yang merupakan pengerusi PH dan atas sebab itu mereka mahu presiden PKR meneruskan perjuangan.

"Seluruh negara kini sedang di tangan PN. Kita harus mengambil alih pentadbiran dengan pertolongan Tun. Bukankah kita ada 91 kerusi?

"Kami setia kepada DSAI (Anwar) dan itulah sebabnya kami mahu dia terus berjuang dan tidak mendengarkan kata-kata orang yang hanya menyampaikan rasa takut dan hilang kepercayaan.

"Sebagai seorang anak muda, dia (Farhash) harus menunjukkan keberanian dan keyakinan," katanya.

Dalam respons segera terhadap Khalid, Farhash berkata bahawa soal memilih calon perdana menteri harus kembali kepada rasa tanggungjawab pemimpin.

Merujuk kepada Mahathir, dia berkata bekas pengerusi PH itu adalah orang yang mengundurkan diri dan mencetuskan kemelut politik, dan oleh itu tidak harus mengambil risiko lagi dengan memberi peluang kepada Mahathir.

"Jelas kenyataan saya malam tadi telah membuat beberapa pemimpin parti komponen melatah.

"Hakikat mengenai calon perdana menteri untuk dipersetujui bergantung kepada sifat tanggungjawab pemimpin tersebut.

"Kalau dah pernah diberi amanah rakyat tapi sewenang-wenangnya melepaskan jawatan dan mengakibatkan kemelut politik negara, mengapa harus kita mengambil risiko itu semula?

"Saya memang takut, takut akan kehilangan mandat rakyat. Jika ini pun tidak dapat dinilai oleh pemimpin komponen PH yang lain, maka jawablah di PRU ke-15 nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS