Malaysiakini
BERITA

Panglima ATM: Tiada kompromi tentera terlibat sindiket seludup warga asing

Bernama

Diterbitkan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggotanya yang terlibat dengan apa juga kegiatan jenayah termasuklah sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin.

Panglima ATM Jen Affendi Buang berkata, pihaknya mengambil pendekatan tegas berhubung perkara berkenaan, demi menjaga imej pasukan keselamatan itu yang bertanggungjawab memastikan kedaulatan serta kesejahteraan negara, terpelihara.

“ATM bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, untuk sebarang tindakan lanjut ke atas mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini, yang melakukan penahanan 18 penguatkuasa melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ATM, susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin pada 4 Jun lepas.

“ATM juga ingin mengesahkan bahawa dua pegawai serta tiga anggota ATM, disyaki terlibat seludup pendatang tanpa izin 4 Jun lepas,” katanya.

Beliau berkata, penahanan anggota ATM terlibat berkenaan menunjukkan keberkesanan Op Benteng, di bawah pengawasan National Task Force (NTF).

Sebelum ini, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed memaklumkan, seramai 371 orang ditahan dalam tempoh empat hari bagi fasa ketiga Op Covid-19 Benteng, dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 4 hingga 7 Jun lepas.

-Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.