Nazri nafi jadi 'hulubalang' Perdana Menteri

       

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang dilabel sebagai 'hulubalang' bagi pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan beliau ditugaskan untuk menyerang bekas 'bos'nya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tidak...Perdana Menteri tidak memanggil atau mengarahkan saya untuk bertindak begitu," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Nazri merujuk kepada tindakannya mengeluarkan kenyataan keras terhadap Dr Mahathir semalam yang antara lain meminta bekas Perdana Menteri itu bertindak 'jantan' dengan meninggalkan Umno berikutan serangan terbaru Dr Mahathir terhadap kepimpinan Abdullah Sabtu lalu.

Menteri itu juga menyifatkan Dr Mahathir tidak menyayangi parti dan negara kerana tidak bercakap benar.

Bercakap kepada pemberita selepas satu majlis forum di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir menyangkal semua dakwaan Nazri itu, sambil menyifatkannya sebagai 'hulubalang' kerajaan Abdullah. Beliau juga mendakwa beberapa percubaan sedang dibuat untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya dalam usaha untuk memecat beliau dari Umno.

Sambil menyangkal dakwaan Dr Mahatahir itu, Nazri berkata: "Apalagi yang boleh dia (Dr Mahathir) kata? Apabila dia tidak boleh mematahkan hujah, dia ambil jalan tengah, tuduh saya hulubalang."

Menurut Nazri selama ini beliau sentiasa setia kepada Dr Mahathir dan sangat menghormatinya kerana bekas Perdana Menteri itulah yang mendorongnya menceburi politik semasa beliau sedang menuntut dalam bidang undang-undang di United Kingdom dulu.

"Saya pernah mendengar ucapannya selaku Menteri Pelajaran ketika itu dan ketara sifatnya sebagai orang yang berprinsip...tetapi sekarang saya tidak memahaminya lagi.

"Saya mahu meletak jawatan pada hari terakhir beliau menjadi Perdana Menteri kerana saya tidak sanggup melihatnya pergi seorang diri. Tetapi Dr Mahathir menolak perletakan jawatan saya. Tolong tanya Dr Mahathir hal ini," tambahnya.

Berhubung dakwaan Dr Mahathir mengenai wujudnya rancangan untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya, Nazri berkata, tiada siapa pun yang cuba memburuk-burukkan bekas Perdana Menteri itu, tetapi sebaliknya apa yang berlaku sekarang adalah akibat perbuatannya sendiri.

"Mengapa mesti kita membencinya?" soal Nazri sambil menambah, Dr Mahathir sepatutnya menghargai segala kenangan dan hubungan baik yang pernah wujud dengan kerajaan selama ini.

Nazri juga menyatakan rasa marahnya terhadap kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan barisan anggota kabinet yang ada sekarang sebagai 'dayus' berikutan tindakan kerajaan membatalkan projek jambatan indah di Selat Johor.

"Ayah saya membelanjakan wang yang banyak menghantar saya belajar undang-undang di UK, tidak seperti dia yang mendapat biasiswa untuk belajar bidang perubatan. Ayah saya tentu tidak bersetuju dengan tindakannya menggelar saya 'dayus'," ujarnya.

Nazri juga menyatakan kesediaannya untuk berdebat secara terbuka dengan Dr Mahathir berhubung segala masalahnya dengan kerajaan sekarang. Terjemahan

Malaysiakini
terkini untuk anda