Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedah dipersiapkan untuk penanaman percubaan hemp
Diterbitkan:  Jun 20, 2020 11:27 AM
Dikemaskini: 5:23 AM

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata Kedah antara lokasi yang dikenal pasti kerajaan bagi kebolehlaksanaan penanaman hemp, iaitu sejenis ganja spesis cannabis sativa untuk tujuan industri dan perubatan.

Menurutnya, usaha yang melibatkan beberapa pihak seperti Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu menjelaskan selain ubat-ubatan, hemp juga boleh dijadikan bahan untuk produk seperti baju, plastik, minyak dan biodiesel.

Kata Noor Azmi, kanabis terletak di bawah bidang kuasa yang dikawal KKM.

“Sekarang ini Ketsa perlu membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran menanam pokok ini.

"Saya difahamkan, mereka akan buat tanaman ini di Kedah dan persiapan sedang dibuat, namun penanaman masih belum dilakukan.

“Ini kerana masih ada beberapa maklumat yang dalam borang diberikan KKM kepada Ketsa masih belum selesai,” katanya lapor portal Free Malaysia Today.

Menurut anggota parlimen Bagan Serai itu lagi jika kajian berjaya dilaksanakan dan tersebuktu berkesan, KKM perlu meminda Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, meskipun penanaman kanabis memberi banyak keuntungan dan manfaat, ia tidak dibenarkan kerana mengandungi kandungan yang dikaitkan dengan cannabis sativa, yang boleh menyebabkan kerosakan pada tubuh manusia.

“Orang Melayu bila sebut kanabis, mereka tidak berapa tahu, tetapi bila sebut ganja, mereka tahu. Saya sudah perhatikan perkara ini, kanabis merupakan pokok yang sudah wujud ribuan tahun lamanya.

“Kanabis atau hemp yang digunakan untuk tujuan perubatan ini merupakan satu spesis dengan cannabis sativa iaitu marijuana.

"Perkara membezakan kedua-duanya adalah kandungan tetrahydrocannabinol (THC) dalam marijuana adalah sebanyak 30 peratus dan dalam hemp hanya ada 0.3 peratus,” katanya.

Lihat Komen
ADS