Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggap PN bukan kerajaan kuat, Ismail Sabri saran adakan PRU
Diterbitkan:  Jun 21, 2020 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Ismail Sabri Yaakob berkata, membubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya umum (PRU) baru diadakan boleh menjadi penyelesaian terbaik kepada kemelut yang melanda politik sekarang.

Mengakui Perikatan Nasional (PN) bukanlah sebuah kerajaan yang kuat ketika ini, naib presiden Umno itu berkata ia menerima tekanan berterusan daripada pembangkang.

Puncanya, kata beliau, adalah kerana PN memperolehi sokongan majoriti tipis di Dewan Rakyat.

“Secara keseluruhannya kerajaan hari ini bukanlah sebuah kerajaan yang kuat. Sebab itu, bagi saya jalan terbaik (untuk menyelesaikan isu semasa) adalah memulangkan semula kepada rakyat untuk membuat keputusan," katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Ahli Parlimen Bera yang dilantik sebagai menteri kanan oleh Muhyiddin Yassin itu menambah, jika PRU diadakan sekarang mereka boleh memenanginya.

PN kini dikritik kerana membentuk kerajaan tanpa mendapat mandat daripada rakyat.

Untuk rekod Umno-BN dan PAS yang menjadi anggota PN ditolak oleh pengundi dalam PRU ke-14 kira-kira dua tahun lalu. Mereka menjadi kerajaan selepas Muhyiddin Yassin membawa Bersatu meninggalkan PH dan bekerjasama dengan BN serta PAS.

PH sedang giat berunding untuk mencapai persetujuan bagi mengambil alih Putrajaya semula ketika Muhyiddin dan PN dilihat gigih mengumpul sokongan daripada ahli-ahli parlimen.

Kedudukan PM di tangan ahli parlimen

Ismail Sabri juga mendakwa pembangkang kini tidak berminat menjadikan negara ini stabil ketika semua pihak berdepan dengan Covid-19.

“Baru-baru ini saya pergi ke sebuah hotel untuk makan malam. Waktu itu jam 10 malam dan restoran itu sudah tutup.

“Saya tanya, saya beri kebenaran buka sampai pukul 12 tengah malam, kenapa tutup? Dia kata tak ada makna buka kalau tiada orang datang.

“Ini menunjukkan untuk pulihkan perniagaan akan memakan masa. Sepatutnya inilah masanya kita bekerjasama tanpa mengira parti kerana melibatkan kepentingan rakyat tetapi pembangkang lebih mementingkan politik,” katanya.

Dalam temu bual itu juga Ismail Sabri berkata PN sepatutnya diberikan masa untuk menjadi kerajaan seheingga tamat penggal yang ada. Mengikut perlembagaan PRU perlu diadakanselewat-lewatnya 2023.

Kata Ismail Sabri kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada ketika ini terletak di tangan ahli parlimen dan bukan di tangan rakyat.

“Kalau di tangan rakyat, tiada isu tetapi oleh kerana di tangan ahli parlimen, perbezaan jumlah antara ahli parlimen (PN dan PH) tidak banyak.

“Sebab itu saya berpandangan, kalau itulah kehendak pembangkang, maka lebih baik kita serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Sebab pembangkang (PH) kata mereka diterima rakyat dan kita (PN) kata kita diterima rakyat. Jadi biar rakyat tentukan siapa yang betul-betul mereka terima,” katanya.

Lihat Komen
ADS