Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan gesa k'jaan beri RM500 untuk penganggur B40
Diterbitkan:  Jun 21, 2020 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Timbalan presiden Gerakan Oh Tong Keong menggesa kerajaan memberikan bayaran sebanyak RM500 kepada mereka yang kehilangan pekerjaan di bawah kategori B40 mulai sekarang hingga Disember.

Dalam satu kenyataan hari ini, Oh berkata walaupun kerajaan membenarkan individu mengeluarkan RM500 sebulan dari akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka, ia tidak memadai.

"Sekiranya 'akaun 2' mereka kosong, maka masa depan (penganggur) akan terjejas. Mereka akan memerlukan wang untuk pendidikan dan bil perubatan anak-anak mereka (pada masa depan)," katanya.

Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari membolehkan pencarum mengeluarkan wang sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Ia adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, yang juga merangkumi pemberian wang tunai secara one-off antara RM1,600 hingga RM500 untuk individu atau isi rumah dengan pendapatan RM4,000 ke bawah.

Oh berkata ramai yang tidak memiliki kerja berikutan wabak Covid-19 dan yang paling terjejas adalah industri perhotelan, katering, pengangkutan, pendidikan dan peruncitan.

“Ramai ahli ekonomi telah mengingatkan kerajaan supaya berjaga-jaga terhadap kesan daripada wabak Covid-19, tetapi pihak kerajaan tidak mengamalkan strategi yang tepat dan keadaan kini semakin buruk.

"Walaupun kerajaan Perikatan Nasional telah menangani wabak Covid-19 dengan baik, namun (tindakan) dalam membantu rakyat masih perlahan. Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Pada 15 Jun lalu, laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia untuk April 2020, menyatakan kadar pengangguran negara melonjak kepada 5 peratus dan jumlah penduduk yang tiada pekerjaan meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778,800 orang.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin, penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April lalu memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja berasa sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Lihat Komen
ADS