Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M.A.S sanggah Perbadanan Kg Baru dan DBKL, dakwa masih relevan

Lembaga pentadbiran Malay Agricultural Settlement (M.A.S) masih berfungsi dan relevan dalam membantu pembangunan kampung baru.

Setiausaha Kehormat M.A.S, Shamsuri Suradi menafikan dakwaan Perbadanan Kampung Baru (PKB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa badan itu tidak lagi berfungsi.

"Lembaga M.A.S bersama PKB dan DBKL telah menjalankan hubungan yang baik dalam menangani isu-isu bersama di Kampung Baru.

"Lembaga M.A.S telah menerima geran tahunan bermula dari tahun 1974 berjumlah RM5 juta dan telah dihentikan pada tahun 2019 dengan jumlah terakhir sebanyak RM50,000.

"Lembaga M.A.S merupakan 'co partner' untuk mencapai hasrat kerajaan kepada pemilik tanah dan penduduk.

"Persoalannya, di mana tidak relevannya status lembaga M.A.S ini," katanya dalam satu sidang media di ibu kota hari ini.

Shamsuri berkata, kenyataan PKB dan DBKL dibuat berdasarkan kepada keputusan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa pada 18 Mei lalu untuk tidak meneruskan pembangunan di Kampung Baru.

Jelasnya, tidak ada sebarang peruntukan undang-undang yang terdapat dalam Akta Pembangunan Kampung Baru 2011 dan Akta Ibu Kota 1960 yang memberi kuasa kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membubar atau membatalkan kuasa M.A.S.

Kampung Baru menjadi perhatian apabila usaha untuk membangunkan kawasan itu masih belum menjadi kenyataan sehingga kini.

Pelan Pembangunan Kampung Baru yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya dapat dimuktamadkan pada bulan ini sekiranya ia berjaya direalisasikan.

Bagaimanapun, negara menyaksikan pertukaran kerajaan pada Februari lalu apabila PH hilang tampuk kuasa dan kerajaan kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Pembangunan itu akan merubah landskap Kampung Baru menjadi kampung melayu moden yang akan menerapkan ciri-ciri dan simbol kekuatan orang Melayu sekali gus menjadi ikon di tengah ibu negara.

Pada 4 April, Annuar berkata pembelian keseluruhan tanah di Kampung Baru akan menelan hampir RM7 bilion dan pembangunan di kawasan itu adalah satu hal yang “tidak mudah” baik dari segi perundangan mahupun perancangan fizikalnya.

"(Masalah) paling besar, siapa sebenarnya yang akan memajukan Kampung Baru?

“Kerana setakat ini, tak ada sebarang peruntukan, tak ada dana yang sangat besar yang diperlukan untuk membeli (tanah), kalau pun semua setuju (menjual tanah),” kata Annuar.

Mengulas lanjut, Shamsuri berkata pembangunan kampung harus selaras dengan keinginan pemilik tanah dan ia tidak harus dijadikan lokasi pembangunan rumah mampu milik semata-mata.

Jelasnya, berdasarkan situasi terkini, pembangunan Kampung Baru yang dirancang tidak akan dilaksanakan seperti mana dinyatakan Annuar.

"Dalam pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Annuar menyatakan kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi (untuk pembangunan Kampung Baru).

"Malah pihak M.A.S sendiri diberitahu, ada perbezaan fakta dalam perkara yang dinyata kerajaan dahulu dengan maklumat yang diperolehi kerajaan sekarang.

"Seperti sokongan penduduk Kampung Baru terhadap pembangunan sebelum ini," katanya lagi.

Tambahnya lagi, pembangunan dirancang perlu dilakukan secara berperingkat dan perancangan yang dilakukan harus sempurna dengan pembabitan kesemua waris.

Lihat Komen
ADS