Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | "Beri seekor ikan kepada seorang dan anda telah memberi makan kepadanya selama sehari; ajar seorang itu untuk memancing dan anda memberi makan kepadanya seumur hidup."

Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan segmen perniagaan yang memerlukan transformasi digital secara besar-besaran, sama ada mereka yang terlibat suka atau tidak. Lantaran itu, mereka merupakan peserta penting dalam gagasan "Malaysia 5.0".

Malaysia 5.0 menggariskan pendekatan penyelesaian masalah terhadap cabaran dan masalah rakyat melalui penggunaan dan pelaksanaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang menggabungkan persekitaran fizikal dan digital.

Istilah "Masyarakat 5.0" menggambarkan evolusi masyarakat sosial ke tahap yang berikutnya, bermula dengan memburu (Masyarakat 1.0), pertanian (Masyarakat 2.0), industri (Masyarakat 3.0), dan bermaklumat (Masyarakat 4.0).

Sistem ini diperkenalkan oleh Yuko Harayama, penasihat kabinet Jepun mengenai hal-hal inovasi, dengan objektif untuk memperkasa masyarakat dengan teknologi 4IR, terutama mereka yang dibiarkan terpinggir oleh masyarakat dan ekonomi.

Saya mahu falsafah ini menyokong strategi MDEC supaya kita dapat memberikan penyelesaian seperti itu kepada rakyat Malaysia dalam semua kelas ekonomi, terutama PKS yang dilanda krisis Covid-19, sebagai persediaan menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar di masa hadapan.

Transformasi digital dalam penyelesaian untuk e-dagang, latihan dan pendidikan, dan juga integrasi kepada platform umum akan menambah baik gaya hidup masyarakat dan membolehkan kebebasan bagi mereka yang melaksanakannya secara proaktif.

Pada masa sama, revolusi data raya dapat memperkasa PKS untuk melentur pengaruhnya ke atas ekonomi. Kini, PKS menghadapi pelbagai cabaran seperti hubungan perniagaan yang lemah, kesedaran terhadap teknologi yang terhad, kekurangan akses kepada pembiayaan, pendidikan dan latihan, dan juga akses internet yang lemah.

Menurut Bank Dunia, sebahagian besar ekonomi global terdiri daripada perniagaan kecil dan syarikat pemula niaga (startups). Hanya satu pertiga daripada syarikat-syarikat tersebut mempunyai pekerja. Sebilangan besar adalah individu yang bekerja sendiri dan beroperasi dalam ekonomi tidak formal atau apa yang dipanggil sebagai ekonomi kelabu (grey economy).

Jika dilaksanakan dengan betul, Malaysia 5.0 secara langsung dapat menolong PKS dari segi penyertaan, akses, prestasi dan pertumbuhan mereka melalui teknologi 4IR seperti kewangan digital (Fintech), Blockchain dan kecerdasan buatan (AI). Transformasi digital pula dapat menawarkan peluang baru kepada PKS untuk turut serta dalam ekonomi global yang berinovasi dan berkembang.

Dalam ekosistem ini, MDEC akan memainkan peranan dalam menawarkan persekitaran perisian (sandbox) untuk PKS bereksperimen dengan alat teknologi yang baru dan melalui ujian tekanan sebelum pelaksanaan yang sebenar supaya risiko kegagalan dapat dikurangkan.

Ini dapat menyumbang kepada PKS yang lebih lestari untuk mereka yang berinovasi.

Oleh itu, PKS dapat memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan daya penghasilan, menghasilkan pertumbuhan yang lebih inklusif, dan menyesuaikan diri dengan transformasi utama pada waktu ini.

Platform bagi membolehkan PKS untuk berinovasi akan memberi impak yang besar kepada ekonomi dan kehidupan sosial, mengurangkan jurang yang berterusan dengan syarikat besar, dan menyamakan pengagihan pendapatan – semuanya matlamat yang diinginkan dalam era digital, atau pada era apa sekali pun.


Dr RAIS HUSSIN adalah Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS