Malaysiakini
BERITA

K'jaan beku pengambilan pekerja asing hingga akhir tahun

Diterbitkan

Pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga hujung tahun ini dengan peluang pekerjaan kini diutamakan kepada penduduk tempatan, kata Menteri Sumber manusia, M Saravanan.

“Kita tidak akan membenarkan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini. Mereka (pekerja asing) boleh datang sebagai pelancong jika dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), di Putrajaya, hari ini.

Ketika ini, beliau berkata terdapat kira-kira dua juta pekerja asing di negara ini.

“Kami berusaha mengurangkan pekerja asing selain memberi keutamaan kepada penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Saravanan berkata kementeriannya akan menilai semula langkah tersebut menjelang akhir tahun sekiranya ia dapat membantu rakyat negara ini.

Beliau dalam pada itu berharap pencari kerja menerima peluang pekerjaan yang ada bagi memastikan negara tidak perlu bergantung kepada pekerja asing.

"Jangan fikir hendak tunggu kerja yang sesuai kerana mungkin kerja yang sesuai tidak akan wujud dalam masa terdekat," katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.