Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Perak digesa jelaskan 'monopoli' kontrak pengurusan sisa pepejal
Diterbitkan:  Jun 24, 2020 4:34 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Kerajaan Perak didesak untuk menjelaskan alasan menganugerahkan kontrak pengurusan sisa pepejal tanpa tender terbuka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari berkata bahawa keputusan itu sebagai mengejut, tidak telus, dan merugikan rakyat.

Ini kerana, kata Abdul Aziz konsesi penswastaan itu bersifat monopoli dan dibimbangi menyebabkan kenaikan harga atau caj perkhidmatan.

"Oleh kerana konsesi penswastaan ini tidak telus, sekiranya mutu khidmat yang ditawarkan oleh syarikat swasta tidak memuaskan hati, adalah sukar untuk rakyat membuat aduan kepada kerajaan tempatan dan syarikat swasta yang berstatus monopoli tidak diwajib memainkan peranan khidmat sosial kepada masyarakat," katanya.

Abdul Aziz berkata Pakatan Harapan (PH) Perak memberi masa 24 jam kepada kerajaan negeri memberi penjelasan terbuka sebelum mengambil "tindakan wajar untuk membela kepentingan awam".

Pada 15 Jun, Majuperak Holdings Bhd mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia mengadakan usaha sama dengan syarikat swasta Mainiza Teknitek Recowaste Sdn Bhd.

Notis itu dikeluarkan setelah Mainiza memberitahu Majuperak bahawa kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik kedua-dua syarikat tersebut untuk menjalankan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini.

Secara khusus, Mainiza akan bekerjasama dengan anak syarikat milik penuh Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (MUMSB).

Nizran Noordin, yang merupakan bekas setiausaha politik Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, antara yang berada di lembaga Majuperak dan MUMSB.

Menurut pengumuman Majuperak, MUMSB adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1982 tetapi ia masih tidak aktif.

Peranan MUMSB adalah untuk menjamin kesepakatan kesemua 15 pihak berkuasa tempatan Perak untuk membuat perjanjian dengan Mainiza serta untuk membantu dalam urus niaga.

Pengumuman itu juga menyatakan bahawa Mainiza perlu membiayai keseluruhan projek usaha sama itu sendiri.

Menurut laporan kewangan terkini Majuperak, syarikat itu mengalami kerugian sebanyak RM6.572 juta pada akhir tahun 31 Disember 2019.

Majuperak dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (55.12 peratus kepentingan, menurut laporan tahunan 2018) sebuah badan berkanun yang dikendalikan oleh menteri besar.

Pada akhir 2017, PKNP mempunyai kepentingan dalam dua syarikat tersenarai, termasuk Majuperak, dan memiliki lapan syarikat swasta sepenuhnya.

Lihat Komen
ADS