Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Tidak dinafikan bahawa virus kecil Covid-19 telah pun menggegarkan satu dunia, dari sudut kesihatan, keselamatan, ekonomi dan sosial di setiap negara.

Hari ini, setelah lebih tiga bulan kita berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), negara kita kini berada di dalam fasa pemulihan krisis Covid-19.

Menyoroti kembali pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat ucapan di televisyen dan mengumumkan PKP untuk Malaysia, sebagai langkah pencegahan sebagai tindak balas terhadap wabak Covid-19 di negara ini.

Sejak itu, Malaysia melalui tujuh fasa PKP, dengan semua tindakan tegas yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar dapat membendung wabak Covid-19 secara efektif.

  • Fasa 1 - 18 hingga 31 Mac

  • Fasa 2 - 1 hingga 14 April

  • Fasa 3 - 15 hingga 28 April

  • Fasa 4 - 29 hingga 3 Mei

  • Fasa 5 - 4 hingga 11 Mei

  • Fasa 6 - 12 Mei 2020 hingga 9 Jun

  • Fasa 7 - 10 Jun hingga 31 Ogos

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) ingin menyentuh aspek implikasi Covid-19 kepada ekonomi negara secara khusus.

Antara petunjuk tahap kesihatan ekonomi tempatan yang boleh diguna pakai adalah indeks pelopor (IP) atau leading index dan indeks harga pengguna (IHP) atau consumer price index.

IP ini menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan dan kitaran perniagaan tempatan, yang secara terus menunjukkan implikasi Covid-19 kepada ekonomi dalam negara.

Indeks harga pengguna pula menunjukkan kuasa beli rakyat dan implikasi Covid-19 kepada kadar inflasi negara.

Berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, IP merosot lebih jauh kepada negatif 5.5 peratus.

Gangguan berpanjangan dalam ekonomi terus menjejaskan prestasi IP.

Berasaskan tahun ke tahun, IP merosot lebih jauh kepada negatif 5.5 peratus pada April 2020 daripada negatif 3.6 peratus pada Mac 2020 didorong oleh sumbangan negatif daripada bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan dan bilangan syarikat baru didaftar.

Keadaan ini menunjukkan bahawa sektor pembinaan merudum teruk kerana tiada permintaan, manakala tiada perniagaan baru dijana kerana masing-masing bertukus-lumus menyelamatkan syarikat sedia ada agar tidak ditutup.

Bagaimanapun, terdapat sedikit momentum positif yang dicatatkan oleh jangkaan nilai jualan di sektor pembuatan yang menyumbang 2.1 peratus kepada perubahan peratusan IP pada bulan rujukan memandangkan perniagaan dibenarkan untuk beroperasi semula pada Mei 2020.

DPIM menyokong keputusan kerajaan yang membuka ruang kepada sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) agar ekonomi negara kembali pulih tanpa menjejaskan keselamatan rakyat terhadap pandemik Covid-19.

Mengambil kira prestasi tahunan IP yang lebih lemah, dijangkakan bahawa ekonomi akan kekal dalam trajektori penguncupan dalam bulan-bulan ke hadapan.

IHP menurun 2.9 peratus pada Mei 2020 kepada 117.9 berbanding 121.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan IHP keseluruhan ini telah didorong oleh penurunan indeks pengangkutan (-20.8%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6%), pakaian & kasut (-1.1%) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.2%) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Bagaimanapun, makanan dan minuman bukan alkohol terus meningkat pada Mei 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 134.3 berbanding 132.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.8 peratus diikuti komunikasi (1.6%), kesihatan (1.2%) dan pendidikan (1.0%).

Data dan statistik indeks harga pengguna (IHP) jelas menunjukkan bahawa rakyat kini berjimat cermat dalam perbelanjaan dan hanya berbelanja untuk survival diri dan keluarga untuk keperluan asas seperti makanan dan minuman.

Jelas pandemik Covid-19 sangat mempengaruhi ekonomi Malaysia, lebih-lebih lagi ekonomi global.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), KDNK 1Q 2020 Malaysia menurun kepada 0.7% disebabkan oleh kesan tindakan yang diambil, baik di peringkat global dan domestik untuk membendung penyebaran wabak Covid-19.

Dijangka pertumbuhan keseluruhan KDNK untuk tahun 2020 serendah -4.7%.

Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz menyebutkan bahawa defisit fiskal negara akan menjadi hampir dua kali ganda, meningkat kepada sekitar 6% daripada output ekonomi tahunan pada tahun 2020 disebabkan oleh pembiayaan dalam projek-projek bantuan kerajaan berkaitan dengan pandemik Covid-19.

Pemulihan ekonomi bergantung pada pihak awam dan swasta yang saling berkaitan secara dinamik, demi kebaikan sosial dan ekonomi negara.

Semasa PKP sahaja, 66% perniagaan mengalami penurunan permintaan yang drastik sehingga menyukarkan usaha mempertahankan perniagaan sedia ada.

Kerajaan Malaysia secara proaktif telah mengambil banyak inisiatif untuk merangsang dan meningkatkan ekonomi, serta meningkatkan ekonomi di sektor swasta, seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin dan rancangan Penjana.

Prihatin dijangka menyumbang sebanyak 2.8% kepada pertumbuhan KDNK.

Agensi antarabangsa meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia antara 4.7% dan 9%, dengan keadaan kesihatan awam yang terkawal.

Prestasi ekonomi Malaysia dijangka meningkat secara beransur-ansur selepas Jun 2020 dan mencatat pemulihan positif pada tahun 2021, disokong oleh langkah fiskal, monetari dan kewangan yang cukup besar dan kemajuan dalam projek infrastruktur awam yang berkaitan dengan pengangkutan.

Sama-sama kita berdoa agar negara kita keluar daripada krisis ekonomi.


SHAHIR ADNAN ialah Ketua Pemuda DPIM merangkap Naib Pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS