Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua pengarang portal berita kesihatan disiasat di bawah OSA
Diterbitkan:  Jun 26, 2020 12:29 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Ketua pengarang portal berita kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn sedang disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung artikel yang berkaitan dengan kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru beberapa tahun yang lalu.

Dalam catatan di media sosial, Boo berkata artikel itu yang diterbitkan pada bulan Mac tahun ini, merangkumi "penemuan yang tidak lagi diklasifikasi sebagai rahsia" dari siasatan bebas terhadap kebakaran pada Oktober 2016 yang mengorbankan enam pesakit.

"Saya disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Undang-Undang Rahsia Rasmi mengenai artikel saya berhubung penemuan yang tidak lagi diklasifikasi sebagai rahsia dari siasatan bebas terhadap kebakaran pada 2016 di Hospital Sultanah Aminah yang mengorbankan enam pesakit," katanya dalam kenyataan di Twitter.

Boo menambah bahawa dia akan disoal siasat oleh polis petang ini di ibu pejabat polis daerah Putrajaya.

Dia mengatakan bahawa dia sedang disiasat untuk empat laporan berita yang diterbitkan oleh CodeBlue awal bulan ini mengenai penemuan yang diperincikan dalam laporan 225 halaman mengenai siasatan bebas terhadap kebakaran tersebut.

 

Siasatan dilakukan oleh tujuh anggota jawatankuasa, yang diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus.

Pada 25 Oktober 2016, kebakaran berlaku di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan hospital. Enam pesakit terkorban dalam kejadian itu, sementara 11 yang lain cedera.

Ditubuhkan pada tahun 1882, bangunan utama hospital ini dibina pada tahun 1930-an.

Malaysiakini menghubungi polis untuk keterangan lebih lanjut.

 

Lihat Komen
ADS