Malaysiakini
BERITA

Seorang pegawai, 3 anggota ATM antara ditahan kes curi lembu

Bernama

Diterbitkan

Lapan lelaki termasuk seorang pegawai dan tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan di beberapa lokasi sekitar negeri ini pagi ini, dipercayai terlibat kes curi lembu menggunakan senapang patah di Kulai.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kelapan lelaki berkenaan yang ditahan, berusia antara 27 hingga 48 tahun, turut terdiri daripada dua polis bantuan, seorang pegawai awam dari Universiti Teknologi Malaysia, dan seorang awam.

“Pihak polis mendapat laporan mengenai kes kecurian lembu dengan menggunakan senapang patah, melibatkan 23 ekor lembu yang dilaporkan hilang pada 16 Mei dan 24 Jun, tahun ini.

“Susulan daripada laporan tersebut, beberapa serbuan telah dibuat sekitar 1 pagi tadi sehingga 7.30 pagi di lapan lokasi berasingan sekitar Kulai, Pontian, Skudai dan Johor Bahru,” kata beliau dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Ayob Khan berkata pihaknya turut merampas selaras senapang patah, 76 butir peluru senapang patah, dua kelongsong peluru senapang patah, sebuah motokar jenis Toyota Hilux UTM, dua bilah kapak, empat bilah pisau kecil, empat bilah mata pisau, tiga bilah parang dan sebuah peti sejuk mengandungi 73 bungkusan plastik berisi daging lembu.

Pihaknya turut merampas sebiji batu asah, tiga biji lampu sorot, lima gulung tali plastik pelbagai saiz, sebuah motorsikal jenis Honda, lapan telefon bimbit pelbagai jenis, dua biji lampu suluh kepala dan sebuah beg galas.

Ayob Khan berkata ,kesemua suspek ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 28 Jun.

Beliau turut menambah, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan melindungi mana-mana agensi penguatkuasa dan penjawat awam, yang menyalahi undang-undang.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.