Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS kemuka usul undi percaya terhadap Muhyiddin
Diterbitkan:  Jun 27, 2020 1:05 AM
Dikemaskini: 6:31 PM

PAS telah mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk dibentang dan dibahaskan dalam sidang parlimen yang akan bermula 13 Julai depan, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, usul ini dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercyaaan terhadap Muhyiddin yang telah menunjukkan kepimpinan yang prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara pada Mac lalu.

"PAS yakin kepimpinan Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan malah sanjungan dari rakyat jelata pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan, sama ada peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan-kerajaan Negeri.

"Segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan pula telah disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan malam ini. 

Menurut Takiyuddin, PAS amat yakin usul tersebut akan mendapat sokongan majoriti anggota parlimen apabila dibentangkan nanti.

"Dengan sokongan yang bakal diberikan sudah pasti akan terus mewujudkan kestabilan negara dan kemakmuran bersama semua rakyat," jelasnya.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan seminggu sebelumnya.

Krisis politik itu berlaku selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH dan meyakinkan Umno dan PAS untuk membentuk Perikatan Nasional (PN), yang turut disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, kerajaan PN hanya memiliki majoriti tipis tiga kerusi parlimen sementara PH pula berusaha mengambil alih semula kerajaan persekutuan.

PH dan sekutunya, yang digelar sebagai PH Plus, mendakwa memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan dan sebelum ini merancang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun usaha mereka untuk mengambil alih semula kuasa menemui jalan buntu selepas berselisih pendapat mengenai calon perdana menteri.

PKR tetap mahukan presidennya, Anwar Ibrahim menerajui kerajaan dan menolak jawatan itu diserahkan semula kepada Dr Mahathir.

Sementara itu, nama Presiden Warisan, Shafie Apdal muncul sebagai calon pilihan bagi menggantikan Mahathir dan Anwar, yang telah berseteru selama lebih daripada dua dekad.

Malam tadi, Naib Presiden Warisan, Junz Wong menerusi Facebook mengulas  mengenai calon perdana menteri dari Sabah, sambil memaparkan gambar Shafie dengan keterangan berbunyi "berdiri teguh bersama DSSA"

"Aspirasi untuk melihat seorang Sabahan (atau Sarawakian) memimpin negara Malaysia sebagai Perdana Menteri suatu hari nanti bukan mustahil.

"Ia boleh termakbul dengan kesatuan hati yang teguh dan utuh," tulisnya.

Timbalan presiden Warisan, Darell Leiking juga membuat kiasan halus mengenai perkara itu.

"Ada orang meramalkan bertahun-tahun lalu bahawa untuk memperbetulkan Persekutuan Malaysia, sesiapa sahaja yang boleh diterima oleh persekutuan dan berasal dari Borneo - Sabah dan Sarawak - dapat sama-sama memimpin persekutuan sebagai PM.

"Mengapa tidak benar? Sudah 57 Tahun !" katanya.

Lihat Komen
ADS