Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun PKR, DAP kritik Dr M mainkan naratif jurang ekonomi Melayu-Cina
Diterbitkan:  Jun 27, 2020 10:32 AM
Dikemaskini: 7:13 AM

Nota editor: Kemaskini dengan penambahan kenyataan Lee Chean Chung.

Pemimpin PKR dan DAP mengkritik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana menurut mereka memainkan naratif bahawa masyarakat Cina di Malaysia adalah golongan kaya.

Adun Semambu dari PKR Lee Chean Chung berkata, isu jurang pendapatan sepatutnya dilhat secara objektif dan pendekatan berasaskan fakta.

"Menjadikan isu ini sebagai perkauman adalah naratif lama yang tidak membantu menyelesaikan masalah jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin," katanya dalam kenyataan.

Memetik buku Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia oleh ahli ekonomi Mohammed Abdul Khalid, Lee berkata 93.71 peratus jurang ekonomi berlaku secara intra-etnik - dalam suatu kaum - manakala hanya 6.39 peratus secara inter-etnik, iaitu antara kaum.

"Contoh yang baik ialah Amanah Saham Bumiputera di mana lapan peratus pemegang saham mengawal 74 peratus nilai pegangan, manakala 74.7 peratus lagi hanya memiliki 3.2 peratus nilai pegangan.

"Sama juga dengan Amanah Saham Nasional di mana 75 peratus pemegang saham hanya memiliki 500 unit atau kurang," katanya.

Lee Chean Chung

Lee berkata prejudis lama hanya akan membawa dasar yang lapuk.

"Dasar lama yang membentuk negara selama 60 tahun, termasuk 22 tahun pentadbiran Mahathir, jelas gagal untuk mengatasi jurang ekonomi secara efektif.

"Orang kaya semakin kaya, krang miskin kekal miskin," katanya lagi.

Menurut Lee, tujuh daripada 10 pekerja Cina adalah penerima gaji dan jurang intra-etnik dalam masyarakat itu adalah yang paling parah.

"Saya percaya jurang ekonomi tidak boleh diselesaikan jika kita hanya menumpukan faktor kaum. Analisis pelbagai faktor termasuk sosial, ekonomi, pendidikan dan kelas penting untuk mencapai kemakmuran ekonomi dan pengagihan saksama.

"Hanya melalui analisis dasar yang moden dan profesional, rakyat Malaysia termasuk orang Melayu, Cina, India dan penduduk di Sabah dan Sarawak dapat bergerak ke hadapan dengan makmur dan saksama," katanya lagi.Adun Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu mendakwa Dr Mahathir Mohamad melaga-lagakan antara kaum bagi meraih sokongan di kalangan orang Melayu.

Menerusi satu hantaran Facebok, Liu mengingatkan bahawa kenyataan berbahaya yang dibuat bekas perdana menteri itu boleh mencetuskan ketegangan antara orang Melayu dengan Cina di negara ini.

“Tun Mahathir buat masalah lagi. Beliau kini guna taktik lama untuk tarik sokongan Melayu.

“Ini bukan kali pertama Tun M berkata orang Cina kaya, seolah-olah ia satu jenayah. Tindakan mendakwa orang Cina 'memiliki semua bandar di Malaysia' pasti akan membangkitkan sentimen di kalangan orang Melayu.

“Siapa yang anda mahu perbodohkan, Mahathir? Atau anda masih percaya bahawa orang Melayu senang terpedaya dan akan beri sokongan hanya kerana anda melaga-lagakan mereka dengan warga Malaysia lain?" soalnya.

Ronnie Liu

Dalam temubual dengan Asian Times semalam, Mahathir menjelaskan tentang jurang kekayaan antara dua kaum itu di Malaysia dan mendakwa masyarakat Cina telah menjadi sangat kaya dan boleh dikatakan "memiliki semua bandar di Malaysia".

"Ini tidak sihat. Kita (turut) temui hal ini di Malaysia, jurang antara bandar dan negara, dibesarkan lagi oleh jurang antara orang Cina di bandar dan orang Melayu di kampung. Kita perlu betulkan hal itu,” kata bekas perdana menteri itu.

Mengulas lanjut, Liu yang dikenali lantang terhadap turut berkata tidak semua orang Cina di Malaysia kaya.

Pada masa sama, katanya lagi, bukan semua orang Melayu miskin, termasuk anak-anak Mahathir.

“Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) orang Cina kini sedang berdepan kesukaran untuk kekal, ‘terima kasih’ atas pentadbiran (Mahathir) yang lemah dan Covid-19. Dan jumlah 800,000 yang kehilangan kerja pasti turut merangkumi orang Cina.

“[...] Anda harus dikecam atas kenyataan bernada perkauman dan perlu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," katanya lagi.

FB POST EMBED CODE -

 

Lihat Komen
ADS