Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Subsidi input padi perlu ditambah baik, bukan dihapuskan

ULASAN | Kajian Khazanah Research Institute (KRI) berkenaan Industri Padi dan Beras negara sering dirujuk oleh ahli akademik dan wartawan untuk mencadangkan perubahan polisi dan dasar dalam industri ini.

Baru-baru ini, cadangan untuk mengurangkan atau menghapuskan subsidi input pertanian (benih, baja dan racun) dan menggantikannya dengan subsidi output iaitu subsidi harga padi (subsidi dibayar berdasarkan per tan hasil yang dijual kepada kilang) timbul sekali lagi di media dengan merujuk kepada kajian KRI tersebut.

Cadangan ini, nampak progresif dan boleh menjimatkan dana kerajaan. Namun ia sebenarnya perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana banyak faktor lain yang mesti dipertimbangkan sebelum cadangan ini dilaksanakan.

Kami ingin mengutarakan beberapa perkara mengapa penghapusan subsidi input akan membawa kesan negatif kepada industri dan pesawah. Tidak juga dinafikan bahawa terdapat banyak kebocoran subsidi input yang mana ia tidak dinikmati oleh petani tetapi oleh vendor-vendor secara tidak adil.

Isu paling besar apabila subsidi input dihapuskan adalah petani yang kurang berkemampuan tidak ada modal untuk membeli input pertanian.

'Along' (loan shark) pertanian akan semakin berleluasa menawarkan pinjaman wang kepada petani. Selama ini pun, sudah terlalu ramai petani yang terjerumus dalam jerat hutang ini apabila mereka tidak mampu membayar kembali pinjaman akibat hasil tidak menjadi kerana cuaca atau penyakit dan potongan pemutuan yang tinggi.

Akhirnya ramai di antara petani yang terpaksa melepaskan hak milik tanah sama ada secara terus atau secara Ali Baba apabila hutang modal ini semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Selain itu, peningkatan 'output based subsidy' iaitu Subsidi Harga Padi daripada RM360 per tan kepada RM700 atau lebih boleh menggalakkan kegiatan penyeludupan padi dari Thailand ke Malaysia.

Kerajaan boleh menjimatkan kos subsidi dengan menangani kebocoran subsidi yang berlaku di peringkat vendor dan pesawah.

Antaranya adalah, menghapuskan kuota penghasilan benih padi kepada syarikat-syarikat terpilih ketika ini sebaliknya keluarkan lebih banyak lesen pengeluar benih.

Lebih banyak pengeluar benih di setiap lokaliti akan menggalakkan persaingan dan akan menangani masalah kualiti dan harga benih yang melampau. Pengeluar hanya boleh menuntut kembali subsidi benih daripada kerajaan apabila benih telah terjual tanpa kuota tertentu.

Sistem kuota benih

Sistem kuota benih adalah punca berlakunya eksploitasi pasaran benih ketika ini. Daftar nama pesawah yang telah dilaksanakan pemutihan perlu dikemaskini selalu.

Setiap tahun ada tanah yang di pindah milik dan ditukar kepada perumahan atau kawasan industri. Nama pesawah yang telah meninggal dunia juga perlu dikemaskini untuk mengelakkan kerajaan terus menerus membayar subsidi kepada individu yang tidak lagi wujud.

Pada ketika ini, jenis baja subsidi yang dibekalkan adalah seragam dan adakalanya tidak menepati keperluan tanah, lalu terbiar di bawah rumah. Pelbagai jenis baja termasuk organik perlu dipelbagaikan dalam senarai subsidi agar pilihan yang sesuai dengan tanah dapat dibuat.

Baja ini boleh dibeli oleh petani di kedai dengan menggunakan kupon atau mekanisme pembayaran tunai yang sesuai sebelum penjual menuntut subsidi yang berkaitan dari kerajaan.

Pihak kerajaan telah disarankan untuk meningkatkan aktiviti Penyelidikan, Pembangunan dan Pengembangan (RDE) berbanding subsidi input untuk meningkatkan hasil dan kualiti tanaman.

Mesti diingat bahawa teknologi dan inovasi melalui RDE juga adalah salah satu bentuk input pertanian yang mana petani masih akan bergantung kepadanya suatu masa nanti.

Lebih malang lagi jika teknologi dan inovasi ini tidak dapat dimiliki oleh petani tetapi dibekalkan dan dikendalikan oleh pihak lain. Teknologi dan inovasi yang mahu di bawa masuk ke bendang mesti dipastikan dahulu mampu dimiliki dan mampu dikendalikan oleh petani sendiri agar petani tidak dipinggirkan atau dieksploitasi oleh pembekal dan penyedia teknologi dan inovasi berkenaan.

Sepatutnya aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengembangan yang mesti diutamakan adalah bagaimana kita boleh kembali kepada sistem pertanian yang lebih natural dan menyokong kepelbagaian agrobiodiversiti yang lebih lestari.

Seharusnya petani kecil dibantu untuk meningkatkan hasil dan menambah pendapatan dengan latihan meningkatkan skill, pengetahuan dan pengalaman berkenaan ilmu pertanian yang mapan dan lestari.

Untuk meningkatkan motivasi petani agar berusaha lebih gigih, kerajaan boleh membina panduan pengredan padi sebagai A, B dan C. Mereka yang rajin sehingga menghasilkan gred padi A wajar mendapat ganjaran harga yang lebih setimpal.

Akhirnya, setiap pesawah yang mengusahakan bendang layak menerima insentif atas usaha mereka mengusahakan tanah sawah yang telah digazetkan sebagai tanah pertanian.

Mereka tidak ada banyak pilihan melainkan mengusahakan padi di tanah tersebut demi menjamin jaminan bekalan makanan kita, maka selayaknya mereka diberikan insentif yang sewajarnya.


NURFITRI AMIR MUHAMMAD merupakan penyelaras Padi Rescue.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS