Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan Pendidikan diarah siasat ketiadaan air di Kolej Vokasional Kuala Kangsar

Jabatan Pendidikan Perak diarah segera menyiasat dakwaan ketiadaan bekalan air di asrama Kolej Vokasional (KV) Kuala Kangsar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, siasatan itu perlu bagi mengetahui punca bekalan air ke asrama berkenaan terjejas sehingga menyebabkan pelajar terpaksa mandi dengan menggunakan air kolah.

“Mungkin ada paip yang tidak ditutup ketika sekolah tutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan bekalan air terjejas, kerana kalau bekalan air tiada di kawasan itu mungkin ia melibatkan semua kawasan tetapi ini tidak (hanya di kolej),” katanya selepas melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian di Jalan Kampung Selamat di Bagan Serai, Perak, hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol itu mengulas keluhan ibu bapa yang mendakwa bekalan air di asrama pelajar tiada menyebabkan anak-anak mereka terpaksa mandi menggunakan kolam takungan yang didakwa kotor.

Dalam pada itu, Razman berkata permohonan SMKA Kerian untuk menaik taraf tangki air, tandas dan surau sekolah itu dikemukan kepada kerajaan negeri demi keselesaan kepada pelajar di sekolah itu.

Katanya, SMKA Kerian adalah sekolah maahad tahfiz yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 selepas Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), tahun lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS