Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan pengusaha perkahwinan yakin wujudkan 20,000 pekerjaan

Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) yang ditubuhkan bagi membela nasib pengusaha majlis perkahwinan berhasrat menyediakan lebih 20,000 pekerjaan dalam sektor itu di seluruh negara.

Presiden PPMPM, Zarinah Mohideen berkata, ini akan dapat membantu rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

"PPMPM yang mempunyai keanggotaan yang ramai di seluruh negara akan bekerjasama dengan anggota-anggota persatuan untuk menyediakan kira-kira 20,000 pekerjaan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi bersama ahli persatuan itu di Emerald Ballroom, Batu Caves, hari ini.

Menurut Zarinah, idea menubuhkan persatuan itu muncul selepas mendapati tiada persatuan atau agensi yang mewakili pengusaha perkahwinan.

Sehingga kini, katanya, persatuan yang didaftarkan pada 18 Jun lalu itu memiliki 841 ahli di seluruh negara.

"Ini bukan industri kecil. Ada hampir 30 sub sektor merangkumi 10,000 pemain industri. Ada sektor khemah, makanan, kamera, video, hiasan, sewa dewan, sewa kerusi meja, solekan, jahitan dan banyak lagi.

"Hampir kesemuanya tidak berfungsi semasa krisis Covid-19. Justeru, saya memanggil semua pemain industri terdiri daripada semua bangsa untuk menubuhkan persatuan ini," katanya.

Kerajaan baru-baru ini membenarkan penganjuran semua majlis sosial termasuk majlis perkahwinan mulai 1 Julai.

Bagaimanapun majlis perkahwinan yang dianjurkan perlu dihadkan antara tiga hingga lima jam dengan kapasiti tidak melebihi 250 tetamu dan tertakluk kepada saiz venue sesuatu majlis diadakan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PPMPM Arabath Ali berkata, sesi hari ini diadakan susulan timbul beberapa kekeliruan di kalangan pengusaha perkahwinan berhubung SOP ditetapkan kerajaan.

"Sesi ini juga berbincang berkaitan tindakan undang-undang oleh beberapa pelanggan yang membuat tempahan untuk majlis perkahwinan tetapi dibatalkan kerana PKP ," katanya.

Beliau juga mengakui tempahan majlis perkahwinan kini masih rendah, namun dijangka akan meningkat beberapa bulan akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS