Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman penjara jika individu gagal patuhi proses kuarantin
Diterbitkan:  Jun 29, 2020 7:46 PM
Dikemaskini: 11:46 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran akan mengambil tindakan termasuk hukuman penjara terhadap individu yang gagal melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum menamatkan kuarantin di rumah selama 14 hari.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 5,909 orang telah dibenarkan keluar dari pusat kuarantin dan perlu menyelesaikan baki kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing.

Daripada jumlah itu, hanya 4,437 orang telah direkod menjalani ujian Covid-19 di klinik kesihatan atau klinik swasta pada hari ke-13 mereka dikuarantin.

"Daripada jumlah tersebut, tiga kes telah dikesan positif Covid-19.

"Seramai 1,472 orang masih perlu menjalani ujian Covid-19 hari ke-13," katanya dalam taklimat harian di Putrajaya, hari ini.

Mengikut prosedur semasa, mana-mana individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani ujian Covid-19 dan kemudian dikuarantin di rumah selama 14 hari.

Pada akhir masa kuarantin, mereka diminta untuk diuji sekali lagi bagi memastikan mereka bebas daripada ancaman wabak itu.

Sebelum ini kerajaan menempatkan mereka yang baru pulang dari luar negara di pusat kuarantin disediakan, bagaimanapunpada 10 Jun lalu mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Noor Hisham berkata, mereka yang menjalani kuarantin di rumah mesti memenuhi syarat berikut:

 

  • Memakai pelitup separuh muka (facemask) sepanjang perjalanan dari Pintu Masuk Antarabangsa ke rumah.
  • Jika bergejala, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.
  • Gelang perintah pengawasan hendaklah dipakai sepanjang masa perintah pengawasan dan pemerhatian.
  • Menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13 di klinik kesihatan / klinik swasta yang diiktiraf oleh KKM dan mendapatkan salinan keputusan ujian tersebut.
  • Hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat dengan laporan ujian Covid-19 untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan pada hari ke-14 oleh PKD.

"Kerajaan memandang berat kepatuhan perintah pengawasan dan pemerhatian ini. Ingin dimaklumkan bahawa kegagalan mematuhi perintah ini dan syarat-syarat yang terkandung di dalamnya adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Penyakit Berjangkit 1988 dan pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (akta yang sama)," katanya.

Seksyen 24 memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua.

"Oleh itu, KKM menggesa semua pelancong yang pulang ke Malaysia untuk bekerjasama dengan KKM dan mematuhi syarat-syarat di bawah perintah itu," katanya lagi.

Beliau juga meminta supaya anggota keluarga menasihati individu yang menjalani proses kuarantin di rumah.

Jelasnya kerjasama dari semua pihak diperlukan untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Lihat Komen
ADS