Malaysiakini
BERITA

MTUC cabar persatuan majikan tunjuk bukti akan bankrap jika gaji wajar RM2,700

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jun 2020, 10:41 pagi

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencabar Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) membuktikan dakwaannya mengatakan banyak perniagaan akan gulung tikar jika gaji bulanan wajar di bandar-bandar besar ditetapkan pada RM2,700 sebagaimana dicadangkan oleh MTUC.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata cadangan itu berdasarkan kepada laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017 yang menyatakan pekerja bergaji rendah sukar menjalani kehidupan minimum.

“Oleh itu, amat sukar untuk menerima dakwaan bahawa selepas 60 tahun kemerdekaan dan bertahun-tahun menikmati hasil pertumbuhan ekonomi yang mantap, majikan Malaysia masih mendakwa mereka akan jatuh bankrap jika membayar gaji yang mencerminkan keadaan sebenar kos sara hidup di kawasan-kawasan bandar besar.

“MTUC mencabar MEF untuk membuktikan dakwaan tidak berasas ini dengan mengemukakan fakta dan angka atau sebaliknya mengakui bahawa ianya tidak lebih daripada satu lagi dakwaan palsu bagi mengetepikan hak yang sepatutnya dinikmati pekerja bergaji rendah ini,” kata beliau.

MTUC telah menggesa supaya pekerja Malaysia dibayar gaji wajar ini bagi membantu kerajaan mencapai sasaran supaya rakyat tempatan mengambil alih tugas yang secara tradisinya dilakukan oleh pekerja asing.

Ini termasuk kerja-kerja dalam bidang pembinaan, pembuatan dan industri perkhidmatan di bandar besar yang mana gaji minimum RM1,200 sebulan adalah jauh daripada mencukupi atau setimpal.

Beliau berkata majikan dan MEF amnya telah berkeras menafikan kenaikan gaji dan upah yang wajar sejak bertahun lamanya, demi melindungi keuntungan besar masing-masing.

“Malah pandemik Covid-19 turut dijadikan alasan oleh majikan untuk memberhentikan pekerja, memotong gaji secara sewenang-wenangnya atau memaksa mereka mengambil cuti tanpa gaji.

“MTUC juga mengesan tindakan majikan tertentu yang menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk menindas kesatuan dan memberhentikan pegawai kesatuan yang sebaliknya hanya bertindak mempertahankan hak ahli mereka.

“Mentaliti majikan yang lebih mementingkan diri sendiri ini semakin buruk saban tahun dan diperkukuhkan lagi oleh dasar kerajaan yang mesra perniagaan namun sebaliknya hanya menjejaskan pekerja,” kata beliau.

Oleh itu, katanya, jika kerajaan terus terpedaya dengan alasan remeh oleh majikan tidak bertanggungjawab yang menafikan hak pekerja mendapat gaji sewajarnya, kerajaan seharusnya memperkenalkan dasar-dasar sosial yang efektif bagi membantu kumpulan pekerja ini.

Sehubungan ini, Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) perlu merangka mekanisme yang sewajarnya bagi mengemukakan “tambahan” sara hidup bulanan sebagai jaringan keselamatan sosial untuk membolehkan pekerja di bandar-bandar besar mendapat gaji bulanan sebanyak RM2,700.

Kos skim ini perlu dikongsi bersama kerajaan dan majikan, terutamanya pihak berkepentingan utama ekonomi yang mendapat insentif dalam bentuk potongan cukai.

“Kami menggesa MySPC untuk menerajui usaha ini atau terus melihat majoriti pekerja Malaysia kekal dihimpit kesukaran serta dibebani dengan hutang isi rumah. Malah, harapan kerajaan untuk menarik mereka mengambil alih kerja yang ditinggalkan oleh warga asing juga akan buntu,” tambah beliau.

-Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.