Malaysiakini
BERITA

SPRM tahan bekas pegawai berkaitan projek terowong bawah laut P Pinang

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jun 2020, 1:18 tengahari

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh bukti baru dalam siasatannya berhubung projek terowong bawah laut Pulau Pinang, yang menyebabkan penahanan bekas pegawai tertinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang hari ini.

Ketika dihubungi, sumber yang tahu mengenai siasatan berkenaan mengesahkan lelaki itu ditahan pada pukul 2 petang di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Sumber di Putrajaya itu memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM telah membuka semula siasatan berdasarkan "beberapa bukti baru".

"Banyak saksi akan dipanggil. Mereka dari kalangan pegawai negeri itu," kata sumber itu.

Difahamkan, lelaki itu yang merupakan seorang bekas kakitangan sebuah parti, dipanggil ke ibu pejabat SPRM petang ini untuk dirakam keterangannya.

The Star melaporkan bahawa pegawai SPRM juga menggeledah rumah lelaki berkenaan di Batu Ferringhi.

Terowong bawah laut adalah terowong sepanjang 7.2 km yang menghubungkan George Town di Pulau Pinang dengan Butterworth - yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dirancang sejak tahun 2011.

SPRM pertama kali memulakan siasatan terhadap projek itu pada Januari 2018.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.