Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu belum memegang jawatan berkenan ketika tender pembinaan projek menara Perbadanan Kemajuan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dikeluarkan pada tahun 1993.

Menurut Setiausaha Akhbarnya, S Sivabalan, antara tahun 1989 hingga 1995 Samy memegang jawatan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Pos.

Dalam kenyataannya kepada malaysiakini, beliau berkata, Samy terkejut apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkannya dalam kontroversi Matrade.

"Samy mahu membuat penjelasan ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," kata Sivabalan.

Semalam, Anwar yang menjadi Menteri Kewangan ketika itu mendakwa kementeriannya mempunyai 'kecurigaan tinggi' terhadap projek-projek yang datang dari Kementerian Kerjaraya yang diterajui Samy termasuk 'minat' mendalam menteri itu dalam projek Matrade itu.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, mana-mana projek yang melibatkan campurtangan Samy Vellu akan diteliti sepenuhnya selari dengan syor yang dibuat oleh BPR ketika itu.

" BPR sentiasa mengarahkan para pegawai lebih berhati-hati apabila menilai tender. Jadi kalau Samy Vellu hendak tahu mengapa sebahagian projeknya dikaji semula, ia adalah kerana Perbendaharaan mencurigai kesahihan projek-projek berkenaan selain mematuhi prosidur pemilihan tender. Jadi Samy cari penyakit la!" tambah Anwar. Berita asal