Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam bela: Undang-undang tak kehendaki laman web tapis, sederhanakan komen dulu

Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar undang-undang tidak menghendaki organisasi berita melakukan pra penyederhanaan dan menapis komen yang ditinggalkan oleh pembaca di laman web mereka.

Peguam bela Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan, berkata pembaca Malaysiakini menyiarkan 2,000 komen secara purata sehari.

Berdasarkan jumlah komen itu, Malaysiakini bergantung kepada pembacanya untuk menandakan komen yang menyinggung serta kemudian akan menjalani proses penyederhanaan.

Mengenai lima komen yang menjadi tajuk perbicaraan penghinaan mahkamah hari ini, Malik berkata defendan telah mengeluarkannya dalam masa beberapa minit setelah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai perkara itu.

Awal bulan ini, Peguam Negara Idrus Harun memulakan prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan Gan berhubung lima komen yang ditinggalkan oleh pembaca.

Defendan dituduh memfasilitasi komen menghina yang memalukan mahkamah dan menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi mahkamah.

Sejak pagi tadi, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan telah mendengar hujah mengenai mengapa prosiding penghinaan ini perlu diketepikan.

Terdahulu, Malik berhujah Malaysiakini tidak boleh bertanggungjawab terhadap komen yang dibuat oleh pembaca dan peguam negara perlu membuktikan bahawa pihak responden sengaja menerbitkan komen-komen tersebut.

"Pihak responden tidak terlibat dalam posting komen. Dan responden juga tidak mengetahui (bahawa komen seumpama itu telah dibuat sehingga dimaklumkan)," kata Malik.

Beliau juga mendakwa terdapat kelemahan dalam prosedur dengan membawa perkara itu terus ke Mahkamah Persekutuan, bukannya mahkamah yang lebih rendah, kerana ia menutup peluang Malaysiakini dan Gan untuk membuat rayuan sekiranya mahkamah membuat keputusan mereka berdua bersalah.

Peguam kanan persekutuan Suzana Atan mengemukakan hujah balas berkata Malaysiakini telah memberi peluang kepada komen yang didakwa menghina dengan menyediakan platform ruangan komen itu.

Suzana berpendapat pihak defendan seharusnya membuang bahan yang menyinggung itu dengan segera setelah diterbitkan dan bukannya empat hari kemudian.

"Mereka boleh (melantik) moderator untuk membuang komen," katanya.

ADS