Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agihan kerusi PN: Tidak perlu berkelahi sesama sendiri, kata Tajuddin

Umno tidak akan berkompromi dalam soal agihan kerusi, khusunya tentang kerusi tradisi parti itu, namun akan mencari formula terbaik bagi mengelak pertembungan sesama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman, berkata beliau yakin kepimpinan parti komponen PN akan berbincang dan akhirnya mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu itu.

"Tidak timbul soal kompromi, bila kita bincang...Ya lah bila kita bincang masing-masing akan timbulkan itu dan ini.Tapi kalau kita nak pastikan kita kuat dan utuh sebagai sebuah gabungan kena ada lah tolak ansur.

"Mestilah ada memahami kehendak antara satu sama lain, kita tidak perlu berkelahi (sesama sendiri dalam PN).

"Kita memahami kehendak masing-masing dan akhirnya datang dengan satu formula yang boleh diterima semua pihak," kata pengerusi Prasarana itu ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Depoh Monorail di ibu negara, hari ini.

Isu agihan kerusi antara Umno dan Bersatu menjadi polemik apabila parti itu kini bekerjsama dalam kerajaan PN selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bersatu pada PRU14 lalu ketika bersama PH bertanding di kerusi tradisi Umno bagi menentang calon BN.

Selepas kejatuhan BN pada 9 Mei 2018, ramai wakil rakyat Umno yang bertanding atas tiket BN membawa lari kerusi yang dimenangani dengan menyertai Bersatu.

Umno difahamkan akan terus mempertahankan kerusi tradisinya termasuk yang dibawa lari oleh bekas wakil rakyatnya.

Sehingga kini Umno yang membentuk kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional dan Bersatu melalui PN belum membincangkan secara rasmi soal agihan kerusi.

Semalam, mesyuarat pemimpin tertinggi PN mengulangi sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mereka juga memutuskan untuk memperkuat kerjasama tetapi tidak disebutkan mengenai usaha memformalkan gabungan itu.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata para pemimpin bertemu di Putrajaya.

"Semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada perdana menteri dan bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Selain Muhyiddin, pemimpin yang hadir adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden MIC S Vigneswaran, Presiden PBB Abang Johari Openg, Presiden SUPP Sim Kui Hian, Presiden PDP Tiong King Sing, Presiden PRS James Masing, presiden PBRS Joseph Kurup dan Presiden STAR Jeffrey Kittingan.

Mengulas mengenai pertemuan itu sama ada ke arah membentuk PN secara formal seperti diperkatakan sebelum ini.

Tajuddin berkata, pertemuan itu adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dan memperkuatkan kerajaan PN yang telah dibentuk.

"Tujuannya sudah pasti untuk mengukuhkan kerjasama, kesatuan antara parti-parti ini.

"Memastikan kerajaan kita yang ada hari ini dapat menghadapi apa juga cabaran dalam dewan (rakyat) ataupun luar dewan," katanya.

Lihat Komen
ADS