Malaysiakini
BERITA

Lokman: Adakah itu nilai Umno yang menang 54 kerusi?

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Jul 2020, 12:51 pagi

NOTA EDITOR: Berita ini ditulis berdasarkan kenyataan Lokman Noor Adam di Facebook. Bagaimanapun, semakan pada 3 Julai mendapati kiriman itu sudah dipadam.


Seorang bekas anggota Majlis Tertinggi Umno mendakwa parti itu 'dihina' dalam suatu pertemuan membabitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak semalam.

Menurut Lokman Noor Adam dalam pertemuan tersebut Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak duduk bersebelahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut Lokman, hal itu tidak sepatutnya berlaku kerana Umno merupakan parti terbesar yang membentuk kerajaan PN selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

Katanya bagi sesetengah orang isu berkenaan mungkin kelihatan remeh namun sebaliknya jika ia dinilai dengan teliti sejak wujudnya kerajaan PN.

Katanya, Umno terus diperlekehkan dan dianak tiri sejak dari pelantikan jawatan perdana menteri, timbalan perdana menteri dan anggota kabinet.

"Mata rakyat biasa akan lihat, ianya sekadar gambar. Tapi saya melihat dari mata orang politik," kata Lokman dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Bersama kenyataan itu ialah sekeping gambar menunjukkan pertemuan pemimpin kanan parti kerajaan dengan Muhyiddin. Di kiri beliau ialah Presiden PAS yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang, manakala di kanannya ialah Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu merangkap Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg.

Zahid berada di sebelah Abang Johari.

Apa akan berlaku kelak

Ketika ini Umno menguasai 39 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikan ia blok terbesar di bangku kerajaan sementara Bersatu - yang diketuai Muhyiddin - berada di tempat kedua dengan 31 kerusi.

Bagaimanapun, untuk rekod 16 daripada anggota parlimen Bersatu itu memenangi kerusi berkenaan atas tiket Umno dan berpaling tadah antara 2018 dan 2019 selepas Pakatan Harapan memenangi dalam PRU ke-14 lalu.

Dalam pertemuan berkenaan semua pemimpin terbabit menyatakan sokongan untuk memperkuat kerjasama namun tiada kenyataan dibuat mengenai usaha mendaftarkan PN sebagai pertubuhan yang sah.

Setakat ini Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukanlah sebahagian daripada PN sebaliknya hanya memberikan sokongan kepada gabungan terbabit.

Lokman dipecat dari Umno pada Feb lalu namun dianggap tetap menjadi penyokong setia Najib Razak. Dia kini mengetuai kumpulan aktivis politik yang dikenali sebagai Laskar Siber Malaysia.

Melihat kedudukan pemimpin Umno diletakkan dalam pertemuan itu, Lokman berkata, tidak dapat dipastikan bagaimana pengagihan kerusi dalam kalangan parti terbabit akan diadakan menjelang PRU akan datang.

"Jika kedudukan kerusi yang tidak dipertandingkan ini pun Muhiyiddin gagal menghormati kedudukan Umno, apakah yang bakal berlaku bila kerusi pilihan raya diagihkan kelak?

"Adakah itu nilai Umno yang memenangi 54 kerusi di kala ianya dilanda dengan fitnah paling dahsyat, di mata pemfitnah yang hanya berjaya memenangi 13 kerusi, di kala imej musuhnya ditahap paling rendah," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.