Malaysiakini
BERITA

Pemimpin Armada pertahan tindakan tawar diri untuk jawatan di Kedah

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jul 2020, 4:13 petang

KEMASKINI | Seorang exco Pemuda Bersatu (Armada) berpendapat dia tidak melakukan sebarang kesalahan mahupun menyanggahi undang-undang apabila menulis surat kepada Menteri Besar Kedah baru-baru ini.

Sebaliknya menurut Muzzammil Ismail ada pihak tertentu yang bertindak "nakal" untuk memburukkan imejnya kerana menularkan gambar surat tersebut.

"Surat itu tiada satu patah perkataan yang bercanggah dengan undang-undang atau integriti mahupun rasuah.

"Saya berpendapat penyebaran surat yang dikaitkan dengan saya itu tidak lebih daripada tindakan nakal pihak tertentu yang cuba untuk memburukkan imej, saya apatah lagi ketika parti akan berhadapan pemilihan tidak lagi," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor dalam kenyataan ringkas kepada Malaysiakini mengakui tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

"Saya tak tahu menahu hal ini," katanya.

Terdahulu gambar surat Muzzammil itu mula menjadi tular selepas dimuat naik di media sosial, termasuk Facebook.

Melalui surat berkenaan - bertarikh 1 Jun - Muzzammil menulis kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor untuk meminta agar dia dipertimbangkan sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah agensi kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Antara lain kandungan surat itu bertulis: "Saya Mohd Muzzammil bin Ismail dengan rasa rendah diri dan takzim menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah dalam mana-mana agensi atau syarikat anak negeri di Kedah seperti Bina Darul Aman (BDB), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)."

Muzzammil juga memberitahu tawaran tersebut dibuat sesuai dengan kelayakan akademik dan pengalaman kerjanya yang dinyatakan melalui lampiran bersama resume dikemukakan .

Dia juga menyatakan sedang menyiapkan kajian ilmiah peringkat doktor falsafah dalam bidang tebatan banjir.

Pada gambar yang ditularkan itu juga dapat dilihat komen Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyatakan Muhammad Sanusi bersedia mempertimbangkan permohonan Muzzammil.

Kata Muzzammil perbuatan pihak yang menyebarkan gambar berkenaan juga berniat jahat dan menimbulkan fitnah serta prejudis terhadapnya.

"Fokus utama saya sekarang ialah membantu kerajaan dan rakyat melalui khidmat politik dan profesionalisme saya," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.