Paling Popular
Terkini

Pakatan Harapan (PH) dijangka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan - serta memutuskan - isu calon perdana menteri bagi mewakili gabungan berkenaan minggu depan.

Bagaimanapun menurut sumber itu, partinya - PKR - tidak dapat menerima cadangan agar Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, dinamakan sebagai calon perdana menteri.

Katanya, PKR hanya bersetuju dengan nama awal iaitu gandingan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dengan Anggota Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

"Kami sudah menolak pilihan kedua (yang menggandingkan Anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar).

"Pada kami, tidak ada opsyen ketiga (menggandingkan Mohd Shafie dan Anwar).

"Kami tidak pernah membicangkan hal itu dan tidak bercadang untuk membincangkannya," kata sumber terbabit.

Cadangan agar Shafie dijadikan calon perdana menteri untuk PH dibincangkan dalam satu pertemuan antara Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin DAP, Amanah dan Warisan pada 25 Jun lalu.

Susulan pertemuan itu, Mahathir mendedahkan bahawa pemimpin DAP dan Amanah yang hadir bersetuju dengan cadangan itu.

DAP dan Amanah bagaimanapun berkata mereka perlu berbincang dengan peringkat tertinggi parti mereka dan perlu diputuskan bersama dalam PH.

DAP kemudian mencadangkan agar Majlis Presiden PH bertemu sebelum sidang Dewan Rakyat berlangsung pada 13 Julai ini.

Biar Majlis Presiden bincangkan

Isu pencalonan perdana menteri menjadi perhatian kerana PH menggiatkan usaha mendapatkan semula Putrajaya selepas ia dirampas Perikatan Nasional (PN) melalui Langkah Sheraton.

Untuk rekod, kecuali Bersatu semua parti yang menganggotai PN gagal mendapat mandat rakyat bagi menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum kira-kira dua tahun lalu.

PN dianggotai Bersatu, BN dan PAS manakala Gabungan Parti Sarawak pula menegaskan mereka bukan sebahagian daripada entiti tersebut.

Mahathir pula bukan lagi sebahagian daripada PH manakala Warisan memang sejak awal bukan menjadi anggota komponen gabungan berkenaan.

Ditanya mengenai kemungkinan keputusan dapat dicapai sebelum 13 Julai ini, sumber yang dekat dengan Sekretariat PH itu memberitahu Malaysiakini, pemimpin gabungan berkenaan wajar dibiarkan membincangkan isu itu dan membuat keputusan bersama.

Sementara itu seorang lagi sumber berkata parti itu tidak bercadang untuk mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam waktu terdekat.

"Apa yang ada sekarang ialah mesyuarat mingguan biro politik yang tidak boleh membuat keputusan bagi pihak parti.

"Ia perlu merujuk semua keputusannya kepada MPP," katanya.

Lihat Komen
ADS