Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga tiket penerbangan perlu kembali pada asal kerana kapasiti penuh dibenarkan
Diterbitkan:  Jul 3, 2020 3:26 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Memandangkan kerajaan membenarkan kapal terbang beroperasi dengan kapasiti maksimum, syarikat penerbangan diminta untuk mengembalikan harga tiket ke harga asal.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

"Kita memahami harga tinggi kerana arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara adalah mereka tak boleh ambil penumpang dengan kapasiti penuh kerana penjarakan sosial dalam pesawat. Maksimum yang boleh diisi 66 peratus saja.

"Tapi akhirnya kita benarkan syarikat penerbangan ambil kapasiti penuh. Jadi oleh itu, mesyuarat berpendapat bahawa harga tiket perlu kembali ke harga asal sebelum PKP (perintah kawalan pergerakan) dilaksanakan," katanya.

Ismail menekankan bahawa penurunan kapasiti tidak lagi boleh dijadikan alasan bagi syarikat penerbangan untuk menaikkan harga tiket.

Ismail berkata, kerajaan juga meminta harga istimewa diberikan kepada pelajar sekolah dan universiti, serta guru.

Katanya, Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini.

Mengulas isu lain, Ismail berkata MKN sedang dalam perbincangan untuk mengkategorikan wilayah di China berdasarkan zon risiko Covid-19.

Ia akan menjadi panduan untuk mempertimbangkan pekerja Cina yang datang dari zon hijau untuk memasuki negara ini.

"Walaupun negara China itu besar, kita masih anggap negara China itu berisiko tinggi walaupun negara dia besar.

"Cuma sekarang ini kita sedang berbincang di dalam MKN mungkin kita boleh kategorikan kawasan-kawasan di negara China. Mungkin beberapa kawasan zon merah, kawasan lain zon hijau.

"Tapi itu masih dalam perbincangan," katanya.

Terdahulu, Ismail menjelaskan bahawa Sabah tidak pernah mengadakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan atau MKN untuk membawa pekerja asing dari China memasuki negeri itu.

Ismail berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan media sama ada Sabah telah membincangkan perkara itu dengan Putrajaya atau belum.

."Saya percaya Sabah telah mengambil keputusan tanpa berbincang dengan kerajaan persekutuan atau mesyuarat khas di kalangan menteri," katanya.

Bagaimanapun, Ismail menyatakan bahawa pekerja asing yang memegang pas pekerjaan kategori 1 telah dibenarkan memasuki negara ini.

Berkenaan dengan solat Jumaat, Ismail memaklumkan bahawa pelajar asing sekarang dibenarkan untuk mengikuti solat berjemaah tetapi hanya di masjid di kampus masing-masing.

"Mana-mana pelajar asing yang kembali ke negara ini, mereka telah menjalani ujian swab.

"Mereka dibenarkan bersolat di masjid di kampus," katanya.

Lihat Komen
ADS