Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas kontraktor tak mengaku salah 64 tuduhan rogol, simpan video lucah
Diterbitkan:  Jul 3, 2020 8:49 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 64 pertuduhan berkaitan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii, mencederakan, mengurung, menyimpan video dan gambar lucah seorang wanita pada Mei dan Jun tahun ini.

Tertuduh Mohd Tahir Ayub, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 37 tahun dari 4 hingga 18 Jun di sebuah rumah di Kampung Haji Sulaiman, Panchang, Rembau.

Mohd Tahir menghadapi sebanyak 11 pertuduhan merogol mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh juga berdepan dengan 48 pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan seks luar tabii terhadap mangsa dari 29 Mei hingga 18 Jun yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dengan lima pertuduhan lain iaitu melakukan pemerasan untuk menyebarkan video dan gambar bogel mangsa, mendatang kecederaan pada mangsa, mengurung mangsa selama 12 hari bermula dari 28 Mei, mengugut untuk membunuh mangsa dan memiliki video dan gambar lucah di dalam telefon bimbitnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’atiqah Sapari dan tertuduh diwakili peguam Muhamad Imran Mohamad Farok.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM306,000 bagi keseluruhan pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada 15 hari bulan setiap bulan, menjauhkan diri dari mangsa dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dituduh rogol adik tiri

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan di Seremban hari ini, seorang pekerja penyelenggaraan jalan mengaku tidak bersalah hari ini atas lima pertuduhan merogol adik tirinya dari 2018 hingga 2020.

Tertuduh yang kini berusia 21 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dari September 2018 hingga Jun 2020 didapati merogol mangsa yang juga merupakan adik tirinya ketika mangsa berusia antara 14 tahun hingga 16 tahun, di sebuah rumah di Daerah Rembau.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norsyazwani Ishak tidak menawarkan jaminan dan tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Junaidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 bagi pertuduhan pertama hingga keempat dan mengarahkan tertuduh tidak berkomunikasi atau menghampiri mangsa secara fizikal.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada 15 hari bulan setiap bulan sebelum menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS