Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri bidas Al Jazeera, gesa mohon maaf pada rakyat M'sia
Diterbitkan:  Jul 6, 2020 3:47 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob membidas Al Jazeera sebagai tidak beretika dalam menghasilkan laporan dokumentari yang menggambarkan kerajaan bersikap kejam terhadap imigran tanpa dokumen.

Dalam sidang media hariannya, Ismail berkata dokumentari Al Jazeera adalah satu pembohongan kerana kerajaan tidak hanya mengurung imigran, tetapi semua orang di kawasan tertentu yang mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.

"Polisi ini dikenakan kepada sesiapa saja (di kawasan jangkitan Covid-19).

"Menuduh tindakan kita sebagai rasis juga tidak benar. Apa yang dilakukan adalah berdasarkan undang-undang. Jabatan Imigresen Malaysia guna akta imigresen, untuk tangkap mereka yang tidak mempunyai dokumen sah," katanya.

Ismail juga mencabar Al Jazeera menyatakan negara yang membenarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah bergerak bebas.

"Setahu saya tidak ada. Kerana setiap negara mempunyai akta imigresen yang hampir sama," katanya.

Ismail menambah bahawa laporan Al Jazeera juga berbohong dengan menggambarkan kanak-kanak digari untuk dibawa ke pusat tahanan.

"Ini juga satu pembohongan yang secara terbuka. Saya percaya pemberita ini tidak mempunyai etika langsung," katanya.

Ismail menjelaskan bahawa kanak-kanak tidak akan digari dan mereka akan diasingkan bersama ibu bapa mereka.

Justeru, Ismail mendesak Al Jazeera untuk meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas laporan berkenaan.

"Jadi saya amat berharap sebagai media antarabangsa yang seharusnya mempunyai etika kewartawanan yang tinggi, supaya mereka hentikan tindakan yang mereka lakukan.

"Dan saya minta kalau boleh mohon maaf kepada rakyat Malaysia," katanya.

"Semalam, saya melihat ribuan rakyat Malaysia telah (menekan butang) 'tidak suka' sehingga Al Jazeera menutup (ruangan) komennya," katanya.

Ismail Sabri menambah bahawa seramai 777 daripada 4,924 pendatang asing tanpa dokumen yang ditangkap didapati psotof Covid-19 dan menerima rawatan.

Kata Ismail, mereka semua akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Kerajaan juga melakukan ujian Covid-19 pada 68,829 pendatang asing yang mempunyai dokumen dan mendapati bahawa 2,579 dari mereka dijangkiti wabak itu.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia Artikel 19 menimbulkan kekhuatiran mengenai ancaman terhadap pekerja imigran yang ditampilkan dalam laporan Al Jazeera.

"Tingkah laku yang diskriminatif dan tidak berperikemanusiaan ini menimbulkan risiko keganasan kepadanya dan pendatang seperti dia. Pihak berkuasa mesti memastikan ancaman terhadap pekerja imigran disiasat, dan pelaku dipertanggungjawabkan," kata Artikel 19 dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami mengulangi seruan kami kepada pihak berkuasa untuk memimpin dengan teladan dan mengutuk ucapan kebencian yang ditujukan kepada komuniti pendatang di Malaysia.

"Kerajaan harus bertindak untuk mengurangkan sikap tidak bertolak ansur, diskriminasi dan melindungi masyarakat yang terdedah dari ucapan kebencian," kata Artikel 19 lagi.

Kumpulan itu mendesak kerajaan untuk merumuskan dan meluluskan undang-undang antidiskriminasi yang komprehensif sesuai dengan standard hak asasi manusia antarabangsa.

Lihat Komen
ADS