Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Demi amanah dan tanggungjawab yang digalasnya, tekong bot, Hazahar Mat Sanishah, 48, nekad berenang kira-kira empat batu nautika untuk meminta bantuan daripada nelayan apabila botnya terbalik dipukul ribut pada kejadian 30 Jun lalu.

Mengimbau detik-detik cemas dialaminya bersama awak-awak dan pemancing, Hazahar berkata sebelum kejadian dia bersiap-siap mahu menunaikan solat Maghrib sekitar jam 7.45 malam dan menduga akan berlaku ribut selepas melihat keadaan sekitar laut yang tidak seperti biasa.

"Ketika itu melihat keadaan sekitar laut yang luar biasa, saya meminta anak supaya melabuhkan sauh, namun disebabkan ribut kuat yang datang secara tiba-tiba iaitu dalam tempoh 30 saat seperti kereta api yang lalu menyebabkan tali sauh terputus.

"Saya berusaha mengimbangi bot yang ketika itu sedang terumbang ambing dilambung ombak dan berpesan kepada pemancing dan awak-awak supaya berlindung sebelum bot yang kami naiki terbalik," katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Othman Abdul Latiff di kediamannya di Kampung Kuala Besar, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kunjungan berkenaan, Othman menyampaikan sumbangan kilat berjumlah RM1,000 bagi meringankan beban mangsa selain turut menyampaikan makanan keperluan asas.

Berenang lebih sejam

Hazahar yang mempunyai pengalaman selama lebih 30 tahun sebagai tekong berkata, dia terpaksa berenang lebih sejam untuk mendapatkan bantuan dan berikutan keadaan yang sangat gelap selain laut yang bergelora menyukarkan nelayan untuk melihat kelibatnya di permukaan laut.

Dia juga sempat berpesan kepada anak sulungnya Muhamad Ikhwan, 27, sebelum mengambil keputusan mengharungi lautan bagi mendapatkan bantuan.

"Saya pesan kepada anak sulung, along (Ikhwan) tolong jaga ma dan adik beradik yang lain baik-baik kalau abah tidak kembali semula ke bot ini selepas meminta bantuan.

"Keadaan pada ketika itu sangat gelap dan selepas bot terbalik saya mencari dua anak yang ikut bersama memandangkan anak keempat, Muhamad Ikram, tidak pandai berenang dan dalam keadaan kelam kabut akhirnya mereka ditemui selamat.

"Dalam masa sama, saya juga mengarahkan pemancing dan awak-awak berkumpul dan berpaut kepada objek yang berada di sekeliling mereka sebelum saya berenang untuk mendapatkan bantuan daripada nelayan lain," katanya.

Dalam keadaan getir itu katanya, dia bernasib baik kerana menemui seorang nelayan yang dikenali sebagai Pak Zin.

"Selepas lebih sejam kemudian, kenalan saya yang juga seorang nelayan dikenali sebagai Pok Jin mendengar suara jeritan meminta tolong dan lampu suluh dihalakan tepat pada muka dan kemudian seutas tali dilemparkan untuk menarik saya naik ke atas bot.

"Tanpa berlengah, saya meminta Pak Zin mengemudi bot untuk ke lokasi bot terbalik dan 12 daripada kami terselamat.

"Bagaimanapun saya agak kesal kerana lapan lagi nyawa tidak dapat diselamatkan. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya pada ketika itu," jelas Hazahar.

Terdahulu, bot yang dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak itu terbalik dipukul ribut di perairan Kemasin, Bachok, menyebabkan sauhnya terputus, sebelum dipukul ombak besar dan terbalik.

Kejadian itu menyebabkan tujuh individu ditemui meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizam Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an dan Shafiq Che Alim, 29, Harun Daud, 60; Che Wadi Bakar, 44, dan Arman Ismail, 43.

Lihat Komen
ADS