Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perolehan mencurigakan pengimbas X-ray ‘disenarai hitam’

“Terdapat kontena sepanjang 40 kaki, penuh dengan kentang import, dan kami tak dapat lihat apa yang ada di sudut-sudut kecil. 

"Bagaimanapun pengimbas ini membolehkan kami jumpa lebih 100kg dadah yang dicampur dengan kentang, dan kami rampas dadah itu. Tanpa kemudahan ini kami tak akan dapat kesan.

“... senjata api, contohnya, pistol, mungkin disembunyikan dalam dinding kontena. Kita juga boleh lihat bentuk senjata api melalui pengimbas itu. 

"Kalau kamu buka kontena untuk periksa pun, kamu tak akan dapat lihat,” kata ketua pengarah kastam semasa pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2014.

Kastam mula menggunakan pengimbas x-ray terhadap muatan kontena di pelabuhan dan pusat pemeriksaan sejak 20 tahun ini susulan pemeriksaan manual sukar dilakukan kerana melibatkan ribuan kontena keluar-masuk.

Bagaimanapun, peralatan pemeriksaan digunakan terpalit dengan dakwaan penipuan.

Kerajaan merancang membeli pengimbas berharga RM240 juta daripada syarikat China, walaupun telah menyenaraihitamkan produk itu susulan gagal berfungsi dengan baik kira-kira sedekad lalu.

Pengeluar itu pula, yang mempunyai kaitan rapat dengan golongan berpengaruh China, terlibat dalam pelbagai kes rasuah di pelbagai negara.

Kerap rosak

Menurut sumber kerajaan, kastam membeli pengimbas itu daripada Nuctech Co Ltd dengan harga RM12.2 juta dan memasangnya di Terminal Kontena Klang (KCT) kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun ia selalu rosak, hanya beberapa bulan selepas dipasang.

Sumber berkata, rekod dalaman menunjukkan ia gagal berfungsi sebanyak 10 kali sebulan pada penghujung 2010 dan kos penyelenggarannya juga sangat tinggi.

Semakan dalaman kastam pada 2011 menyimpulkan kerajaan tidak patut membeli produk jenama itu lagi jika masalah teknikal tidak diselesaikan dengan sempurna, dakwa sumber.

“Teknologi itu sepatutnya memudahkan kerja manusia, bukannya sebaliknya. Kegagalan yang dicatatkan itu baru sedikit. 

"Berdasarkan orang yang bertanggungjawab menjaga (operasi pengimbas), kegagalan berlaku hampir setiap hari.”

Sumber kerajaan memberitahu salah satu masalah yang dicatat ialah mesin itu tidak boleh mengimbas dan merekodkan nombor plat kenderaan dengan tepat.

“Kalau melibatkan mana-mana kes mahkamah, masalah ini mungkin menyebabkan akibat yang tidak diinginkan. 

"Imej yang terpapar dan direkodkan pada skrin boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah, tetapi kes mahkamah itu mungkin dibuang kerana ralat teknikal ini.

“Untuk menangani masalah ini, pegawai bertanggungjawab perlu mencatat nombor plat sebelum kenderaan yang membawa kontena melalui pengimbas.”

Pengimbas kargo selalunya dipasang di kawasan luar dan harus kalis air. 

Bagaimanapun, sumber mendedahkan bahawa pengimbas pernah rosak kerana dimasuki air hujan, meskipun tempoh jaminan belum tamat.

Dakwa sumber lagi, penyelenggaraan untuk setiap dua unit pengimbas jenama itu menelan kos hampir RM200,000 setiap bulan, iaitu 10 kali lebih tinggi berbanding pengimbas lain di pelabuhan sama.

Kerosakan kerap disebut dalam laporan PAC

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 2013 (Siri 2) menyentuh tentang masalah ini dan pada tahun berikutnya, PAC meminta kastam menyemak perkara itu.

Semasa pendengaran PAC, wakil Jabatan Audit Negara (JAN) menamakan Nuctech dan membangkitkan tentang kerosakan yang kerap berlaku dalam produknya.

Berdasarkan hansard pendengaran PAC, siasatan JAN mendapati kerosakan yang dialami pengimbas Nuctech yang dipasang di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Selatan, adalah lebih 160 hari dalam setahun, dan ada yang mencecah sehingga 214 hari.

Secara umumnya, apabila pengimbas rosak, pegawai kastam masih mempunyai hak untuk meminta kontena dibuka bagi tujuan penyiasatan. 

Bagaimanapun, sesetengah aktiviti penyeludupan adalah amat sukar untuk dikesan menggunakan mata kasar.

Kata pegawai JAN dalam pendengaran itu, kerajaan tidak menolak kemungkinan pegawai kastam tidak membuat pemeriksaan dengan menyeluruh kerana keletihan atau malas.

Pada Januari 2018, kastam mengeluarkan surat memberhentikan perkhidmatan penyelenggaraan oleh Nuctech Engineering & Services Sdn Bhd yang berpangkalan di Malaysia. 

Malaysiakini telah melihat surat itu dan sudah menghubungi kastam untuk mendapatkan maklum balas.

Malaysiakini difahamkan bahawa Nuctech Engineering & Services Sdn Bhd menukar nama kepada Nes Scan Sdn Bhd pada Oktober 2017.

Pada 2018, menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng (bawah) mengumumkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk membeli 20 pengimbas kargo bagi meningkatkan kecekapan dalam mencegah penyeludupan dan pengisytiharan tidak sah, sekali gus meningkatkan pendapatan cukai.

Laporan PAC pada 2014 mencatatkan bahawa dalam tempoh 10 tahun, antara 2001 ke 2011, kerajaan BN membeli sejumlah 16 pengimbas kargo bernilai RM183 juta.

Dalam kata lain, pembelian 20 pengimbas oleh kerajaan PH boleh dikatakan sebagai perolehan yang berskala sangat besar.

Yang menarik perhatian, tender sewa beli itu dibatalkan dan ditender semula sebanyak dua kali tanpa alasan yang jelas, berdasarkan seorang sumber di dalam industri.

Kerajaan mungkin akhirnya membelanjakan lebih RM240 juta untuk membeli produk yang sama sekali lagi, yang didapati sering rosak kira-kira 10 tahun lalu itu.

Tender diumumkan buat kali pertama pada akhir 2018. Pada Oktober 2019, Lim mendedahkan kerajaan bercadang memperuntukkan RM235 juta untuk membeli 20 pengimbas semasa pembentangan Belanjawan 2020.

Maklumat tender yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa pengimbas itu akan dipasang di pelbagai pelabuhan di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Projek itu terbahagi kepada dua pakej- satu melibatkan 13 pengimbas di semenanjung, dan pakej kedua melibatkan tujuh pengimbas di Sabah dan Sarawak.

Tender pertama pada awalnya dijadualkan tutup pada Januari 2019, tetapi ia dibatalkan dan dibuka semula sebanyak dua kali.

Notis untuk tender kedua dan ketiga dikeluarkan di laman web Kementerian Kewangan pada April 2019 dan Ogos 2019, dan keputusan akhir tender diumumkan Januari 2020.

Pengumuman keputusan tender hanya boleh diakses oleh syarikat dalam industri berkaitan menerusi sistem perolehan elektronik kerajaan, “e-Perolehan”.

Sumber industri memberitahu Malaysiakini bahawa PTS Resources Sdn Bhd memenangi kontrak untuk 13 pengimbas di semenanjung, dianggarkan bernilai RM147.04 juta, manakala Infomina Sdn Bhd dianugerahkan kontrak untuk tujuh pengimbas di Sabah dan Sarawak, dianggarkan bernilai RM95.2 juta.

PTS Resources berdaftar sebagai pembekalan alatan elektrik dan industri, alat ganti, juga kerja-kerja pentauliahan. 

Berdasarkan laman web syarikat berkenaan, ia mempunyai kepakaran dalam industri minyak, gas dan petroleum, tanpa ada pengalaman dalam sistem pemeriksaan kargo.

Untuk Infomina pula, ia didaftarkan sebagai syarikat yang menyediakan khidmat sokongan dan penyelenggaraan teknologi maklumat. 

Laman web rasminya menunjukkan ia sebagai sebuah syarikat IT yang menyediakan automasi bangunan, perhubungan, tenaga hijau, maklumat, dan sistem keselamatan fizikal termasuklah CCTV, kawalan akses, dan pengesanan perimeter.

Kedua-dua pakej itu bernilai RM242.24 juta, iaitu lebih RM7.24 juta berbanding dengan peruntukan RM235 juta yang diumumkan sebelumnya.

Berdasarkan dokumen tender yang dilihat Malaysiakini, 12 daripada 20 pengimbas itu akan dipasang baru, sementara lapan lagi akan digunakan untuk menggantikan pengimbas sedia ada, yang turut termasuk beberapa pengimbas yang dikeluarkan Nuctech.

Memandangkan tender tidak membenarkan syarikat asing turut serta secara langsung, mereka selalunya akan melantik syarikat tempatan bagi pihak mereka.

Meskipun syarikat yang menang kontrak diumumkan, jenama yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan tidak didedahkan kepada awam.

Sumber industri memberitahu bahawa tujuh pengimbas yang dicadangkan Infomina untuk dipasang di Sabah dan Sarawak, adalah sebenarnya pengimbas Nuctech.

Malaysiakini telah menghubungi ibu pejabat Nuctech di Beijing untuk mendapatkan pengesahan dan maklum balas terhadap tuduhan tersebut. Syarikat itu memberitahu, media hanya perlu menghubungi rakan tempatan mereka di sini untuk sebarang pertanyaan.

Apabila dihubungi, Infomina enggan mengesahkan jenama produk dan model pengimbas itu, dengan memetik perjanjian dengan kerajaan Malaysia yang tidak boleh didedahkan.

Malaysiakini sebaliknya diminta untuk mendapatkan penjelasan daripada kerajaan.

Kementerian kewangan dan kastam tidak memberi maklum balas terhadap permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan.

Tukar jenama lepas menang kontrak?

Berdasarkan kenyataan sumber, selepas kontrak dianugerahkan, situasi yang lebih membingungkan berlaku.

PTS Resources, yang diberi kuasa oleh syarikat berpangkalan di China CGN Begood Technology Co Ltd, yang memenangi kontrak untuk semenanjung, dikatakan menghantar surat kepada kerajaan meminta jenama pengimbas ditukar kepada Nuctech.

“PTS Resources menghantar surat kepada kastam dan kementerian kewangan selepas mereka mendapat tahu bahawa mereka tidak dapat menghantar 13 pengimbas itu, dan memohon agar digantikan dengan produk Nuctech,” dakwa sumber.

Pendek kata, meskipun kerajaan PH membuat perubahan terhadap budaya ‘rundingan terus’ dalam era BN, akhirnya, mereka mungkin masih membeli produk yang diragui kualitinya, setelah proses tender itu mengambil masa hampir setahun.

PTS Resources mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa ia dianugerahkan kontrak untuk pakej semenanjung. 

Bagaimanapun, ia menolak untuk mengulas mengenai perubahan jenama produk, alasan untuk memohon berbuat demikian, dan sama ada kerajaan telah meluluskannya atau tidak.

PTS Resources juga memetik perjanjian yang tidak boleh didedahkan dengan kerajaan, dan Malaysiakini diminta untuk mendapatkan penjelasan secara langsung dari kerajaan.

Malaysiakini telah menghubungi ketua pengarah kastam Abdul Latif Abdul Kadir dan timbalan pengarah jabatan perolehan, Mohd Faizal Mansor, bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan ini.

Terlibat dalam kes rasuah

Nuctech Co Ltd ialah anak syarikat Tsinghua Holdings yang ditubuhkan pada 1997. Ia diterajui oleh Hu Haifeng, anak bekas presiden China Hu Jintao sehingga 2008.

Dia meletakkan jawatan dari Nuctech pada 2008 dan kemudian dilantik oleh Parti Komunis sebagai setiausaha di Tsinghua Holdings.

Berdasarkan beberapa monograf, selepas Hu menyertai mereka, syarikat itu mengorak langkah di pasaran antarabangsa dan berjaya memasuki pasaran Afrika. 

Alatan keselamatan mereka terjual ke pelbagai negara, termasuklah Macedonia, Filipina, Ireland dan United Kingdom.

Bagaimanapun, Nuctech turut terlibat dalam kes rasuah di banyak negara, tidak lama selepas itu.

The Telegraph pernah melaporkan yang Nuctech terlibat dalam skandal perolehan jutaan ringgit di Namibia, yang disiasat oleh Suruhanjaya Antirasuah Namibia. 

Hu membantu siasatan berkenaan sebagai saksi pada 2009.

The Namibian melaporkan bahawa tiga individu didakwa dalam kes itu- iaitu wakil Nuctech Afrika Yang Fan, bekas anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Namibia Teckla Lameck, dan wakil rakan tempatan Nuctech, Kongo Mokaxwa.

Pendakwaan mendakwa harga pengimbas itu dinaikkan untuk membolehkan Nuctech membayar “komisen” jutaan ringgit kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Lameck dan Mokaxwa.

Menurut The Namibian, tertuduh dibicarakan pada 2013, tetapi kes itu berhenti sekerat jalan memandangkan hakim mengundur diri daripada perbicaraan kes itu.

Trio itu dilaporkan dibebaskan pada 2019 setelah pendakwaan mengaku bahawa mereka tidak berjaya mempersembahkan bukti yang mencukupi.

Tambahan lagi, di Taiwan, dilaporkan bahawa bekas ketua seksyen keselamatan penerbangan dari Biro Polis Penerbangan (Aviation Police Bureau), Sun Yi-Ming, didapati bersalah pada Februari 2020 kerana menerima sogokan dan terlibat dalam aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.

Pengimbas x-ray Nuctech yang dibeli oleh pihak berkuasa Taiwan dan dipasang di lapangan terbang, didapati dibungkus semula di Jepun untuk memperdayakan pihak penguat kuasa Taiwan.

Berdasarkan laporan Taipei Times pula, Sun turut didapati dipikat seorang pengurus jualan wanita dari Nuctech.

Satu kes penipuan berasingan melibatkan Nuctech berlaku di Filipina.

ABS-CBN melaporkan bahawa kerajaan Filipina membeli 30 pengimbas x-ray dari Nuctech melalui satu perjanjian pinjaman dengan kerajaan China.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Audit Filipina kemudiannya mendapati mesin tersebut terlalu mahal, melebihi harga sepatutnya sehingga 4.215 bilion peso (kira-kira RM360 juta).

Dilaporkan bahawa kualiti pengimbas Nuctech boleh dipertikaikan memandangkan ia tidak dapat mengesan dadah methamphetamine dan dadah lain sepanjang sepuluh tahun, meskipun kos penyelenggaraannya adalah 1.5 kali ganda lebih tinggi berbanding pembekal antarabangsa lain.

Melihat situasi di Malaysia, soal integriti dalam proses tender turut boleh dipertikaikan. Sumber yang bercakap kepada Malaysiakini menggesa agar satu siasatan menyeluruh dilakukan. Dia turut melaporkan hal itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal Jun 2020.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan maklum balas.

Tony Pua, bekas setiausaha politik Lim, berkata, proses tender itu mematuhi prosedur kementerian kewangan dan rundingan terbuka.

Dia turut mendakwa bahawa penganugerahan kontrak itu mematuhi saranan jawatankuasa penilai, yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan(KSP) dan pegawai kanan di kastam dan kementerian kewangan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS