Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sidang Parlimen satu hari pada 18 Mei sah - afidavit Muhyiddin

Sidang Parlimen sehari pada 18 Mei lalu adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan mahupun Peraturan Majlis Dewan Rakyat, mengikut afidavit yang diikrarkan bagi pihak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Afidavit yang ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Jun.

Dokumen mahkamah itu diikrarkan sebagai menjawap saman pemula terhadap kesahihan sesi Dewan Rakyat yang berlangsung selama hanya sehari itu.

Peguam R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam mengemukakan saman pemula itu pada 15 Mei lalu dan menamakan Muhyiddin serta speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Kedua-dua plaintif, antara lain, memohon pengisytiharan mahkamah bahawa sidang Parlimen sehari itu, yang hanya dijadualkan untuk mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan, oleh itu, batal dan tidak sah.

Menurut afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini, sidang Parlimen 18 Mei itu dikatakan sah kerana terdapat dua surat yang dikeluarkan mengenai perkara berkenaan.

Nizam berkatabahawa kedua-dua surat tersebut membabitkan "Ketua Majlis" yang menetapkan 18 Mei sebagai hari tunggal untuk persidangan Parlimen, dan bahawa sidang itu hanya untuk mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong memandangkan kembibangan akibat penularan wabak Covid-19.

Di bawah sistem parlimen Malaysia, "Ketua Majlis" adalah perdana menteri.

Nizam merujuk kepada surat bertarikh 17 April yang meminda sesi Parlimen kepada 18 Mei, serta surat bertarikh 12 Mei yang menetapkan bahawa sesi sehari itu hanya untuk mendengar titah ucapan Seri Paduka.

Dewan Rakyat pada asalnya dijadualkan bersidang selama 15 hari antara 18 Mei dan 23 Jun.

“Saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa Mesyuarat Pertama yang diadakan pada 18 Mei 2020, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan mahupun Peraturan Majlis.

"Saya dinasihati oleh peguam kanan persekutuan dan sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa permohonan plaintif-pliantif ini adalah tersalah tanggap dari segi undang-undang mahupun peraturan majlis.

"Saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, permohonan plaintif-plaintif adalah tidak bermerit dan memohon agar ditolak dengan kos," kata Nizam melalui afidavit yang dibuat atas nama Muhyiddin.

Dalam saman pemula mereka, Kengadharan dan Arumugam mendakwa bahawa sidang Parlimen satu hari 18 Mei adalah bertentangan dengan Artikel 55 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 55 (1) menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

Kedua-dua plaintif juga memetik Perintah 14 (1) Peraturan Majlis Dewan Rakyat, yang menyebut bahawa melainkan jika Dewan mengarahkan sebaliknya, urusan setiap persidangan akan dijalankan dalam urutan tertentu.

Sesi Parlimen seterusnya dijadualkan pada 13 Julai ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS