Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terpisah oleh Selat Tebrau, suami rayu mahu jaga isteri sakit

Seorang lelaki warga Singapura berharap kerajaan Malaysia membenarkannya masuk ke negara ini untuk bertemu isterinya - seorang rakyat tempatan- yang sedang sakit.

CA Mahendran, 58, memberitahu Malaysiakini bahawa beliau terpisah dengan isterinya sejak tiga bulan lalu apabila kedua-dua negara menutup pintu sempadan berikutan wabak Covid-19.

Menghidap penyakit diabetes dengan bisul di kedua telapak kakinya, A Kavitha, 51, memerlukan rawatan perubatan tetapi menghadapi masalah berjalan dan tinggal bersendirian di apartmen mereka di Johor Bahru.

Walaupun pada 22 Jun lalu diumumkan bahawa pasangan warga asing dibenarkan masuk ke negara ini setelah mendapat "kelulusan" Jabatan Imigresen, Mahendran berkata usahanya untuk memohon kebenaran tidak diendahkan.

Beliau juga mengatakan telah mengirimkan sekurang-kurangnya "10 e-mel" kepada jabatan itu.

"(Menteri Pertahanan Malaysia) Ismail Sabri Yaakob mengatakan pasangan suami isteri boleh menyeberang (ke Malaysia) tetapi tidak ada cara langsung untuk melakukannya.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk memohon. Saya cuba bertanya tetapi tidak ada yang menolong saya, saya telah menghantar e-mel (tetapi) tidak ada jawapan, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahendran berkata beliau bersedia mematuhi sebarang syarat, asalkan dapat berjumpa kembali dengan isterinya.

Selain jabatan Imigresen, Mahendran berkata beliau juga telah beberapa kali menghubungi Wisma Putra.

Menurutnya, seorang pegawai memberitahu minggu lalu bahawa kementerian itu belum menerima arahan untuk memberi kebenaran terhadap pasangan bukan warganegara Malaysia memasuki negara ini.

Selain panggilan telefon dan e-mel, beliau berusaha meminta pertolongan dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura tetapi mengatakan dia berpatah balik sebanyak dua kali ketika tiba di pintu masuk.

Mahendran juga bercadang berjalan kaki di Tambak Johor tetapi membatalkan hasratnya kerana tidak mahu menghadapi risiko dihantar kembali ke Singapura dan mendapat notis kuarantin di rumah yang akan memisahkannya dari Kavitha selama 14 hari lagi.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura bersetuju membenarkannya keluar dari negara itu, tetapi menasihatinya mendapatkan keizinan dari pihak berkuasa Malaysia sebelum melakukan perjalanan.

Malaysiakini telah menghubungi jabatan Imigresen, Wisma Putra dan Ismail Sabri untuk mendapatkan komen.

Bagaimana jika saya tak dapat melihatnya lagi

Sebelum wabak Covid-19, Mahendran berulang alik dari rumahnya di Johor Bahru ke Singapura untuk bekerja setiap hari dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang.

Bekerja sebagai jurutera IT di sebuah syarikat multinasional Amerika, Mahendran meninggalkan Malaysia pada 1 April untuk bekerja dan harus menjalani kurantin dua minggu di rumahnya di Singapura sebelum pulang.

Namun, beliau terkandas di republik itu setelah Singapura mengumumkan perintah penutupan dan Malaysia memanjangkan tempoh perintah kawalan pergerakan.

Kedua-dua negara dijangka mengumumkan keputusan pembukaan sempadan bulan depan. 

Bagaimanapun Mahendran tidak mahu menunggu sehingga Ogos dan terdesak untuk pulang kerana keadaan isterinya yang semakin teruk.

Berdasarkan sepucuk surat dari doktor Kavitha yang dikongsi dengan Malaysiakini, isterinya menghidap diabetes tahap 2 dan memerlukan rawatan untuk luka yang dialaminya, selain menghidap darah tinggi.

Sejak terpisah, Kavitha tidak dapat melakukan perjalanan ke klinik atau hospital untuk merawat lukanya kerana bisul tersebut akan berdarah apabila dia berjalan dan menyebabkan rasa sakit.

Oleh kerana Kavitha berada di rumah sejak mereka terpisah, Mahendran harus membuat pengaturan dalam talian dari Singapura untuk memastikan barang runcit, makanan dan ubat-ubatan sampai kepada isterinya.

"Saya memerlukan cara untuk masuk ke Malaysia dan saya memerlukan kerajaan mendengar kes saya.

"Pada tahap yang dia lalui, saya takut mungkin saya tidak melihatnya masih hidup. Sekiranya saya tidak mendampingi dan membantunya, saya takut sesuatu yang buruk akan berlaku, ”katanya.

Lihat Komen
ADS