Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kejian 'lahanat': Mokhtar Senik bela Mat Sabu
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 6:54 PM
Dikemaskini: 11:42 AM

Anggota jawatankuasa pusat PAS Mokhtar Senik membela bekas menteri merangkap presiden Amanah Mohamad Sabu yang dikeji warganet ekoran penahanan pegawainya atas kes rasuah.

Mengulas satu tangkap layar hantaran yang melabel Mohamad sebagai “lahanat”, kata Mokhtar, perkataan yang membawa maksud laknat itu diharamkan oleh ulama untuk digunakan kepada orang lain, meskipun kepada orang fasik.

“Yang ditahan itu katanya mantan setiausaha beliau. Lalu mengapa terus disebut nama beliau.

“Kes dalam siasatan. Belum diputuskan oleh mahkamah. Adab Islam ialah ‘seorang itu tidak bersalah kecuali telah dibuktikan bersalah’, melalui prosedur pengadilan yang benar,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Dalam tangkap layar yang dikepil bersama hantarannya itu, seorang warganet membuat kenyataan “Lahanat betul Mat Sabu(Mohamad) ni, baru 22 bulan RM56 juta.”

 

Hari ini, setiausaha politik Mohamad dilaporkan direman enam hari setelah ditahan semalam, kerana disyaki menerima rasuah bagi projek selenggaraan sistem keselamatan negara bernilai lebih RM56 juta.

Dia direman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah menerima rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat, sebagai balasan mendapatkan projek sistem itu secara rundingan terus dengan sebuah kementerian, pada sekitar Ogos 2019.

“Selain itu, SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000, serta dokumen berkaitan projek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM,” kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, kata Mokhtar, dia secara peribadi tidak bersetuju perkataan sebegitu dilontarkan.

Pesannya, kalau hendak berpolitik sekalipun, haruslah secara Islami, menepati aqidah, syariat dan akhlaknya.

“Walaupun seseorang itu musuh politik kita, namun kita hendaklah menghadapinya secara benar menurut hukum.

“Jadi saya sarankan berhati-hatilah mengeluarkan perkataan. Jangan terikut-ikut dengan ahli-ahli politik jalanan. Ingat, Allah memerhati kita,” pesannya lagi.

Lihat Komen
ADS